GENAP dua bulan mewujudkan laman sosial Instagram, pengikut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencecah satu juta.

Menerusi entri terbaharunya, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih atas kesudian rakyat Malaysia mengikuti perkembangannya di laman sosial popular itu, dan berharap platform berkenaan digunakan sebaiknya.

"Hari ini laman Instagram saya sudah mencecah 1 juta pengikut. Terima kasih.

"Media sosial adalah satu platfom penting untuk mendapatkan maklumat yang betul dan mengeratkan hubungan. Gunakan sebaiknya," tulisnya di akaun yang menggunakan nama pengguna @chedetofficial itu.

Turut dimuat naik bersama status itu ialah gambar 'comel' beliau bersama isteri tersayang, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.


Dr Mahathir sebelum ini secara rasmi menyertai Instagram dua bulan lalu, dengan entri pertama dimuat naik pada 15 Mac.

Angka pengikut di akaun rasminya itu mula naik dengan pantas selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, apabila ia mencatat kenaikan hampir setengah juta dalam masa tidak sampai 24 jam.