Majikan di semua peringkat perlu mengambil berat soal tahap kesihatan mental setiap pekerja bagi mengelakkan berlaku risiko kemurungan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata bermula hari ini majikan perlu memulakan langkah pertama.

Hal ini, kerana menurut beliau, peranan majikan di negara ini dalam mempromosikan kesedaran soal kesihatan mental di tempat kerja masih pada tahap rendah.

“Itu (peranan majikan) memang tak cukup. Saya minta supaya semua majikan ambil berat soal aspek kesihatan mental sebab ia memang ada hubung kait dengan prestasi dan produktiviti pekerja.

“Saya minta mulai sekarang majikan dapat beri perhatian mencukupi, saya cadangkan mereka mulakan langkah-langkah yang perlu,” katanya ketika sesi FB Live Sakit Apa siri ke-17 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Menurutnya, pekerja boleh merasa kesedihan namun jangan dibiar ia sampai ke tahap kemurungan.

“Bagi saya kesihatan mental ini bukan berkaitan dengan penyakit mental. Ia ada kaitan dengan perasaan, kegembiraan, keceriaan dan sikap positif seseorang.

“Jadi, saya berpendapat rakyat harus sentiasa memastikan bahawa mereka dalam keadaan yang terbaik daripada aspek kesihatan mental. Mungkin boleh rasa sedih tapi jangan sampai tahap kemurungan. Jadi, sebelum masalah kemurungan itu timbul, amat perlu ambil tindakan mencegah,” katanya.

Mengulas lanjut, Lam Thye yang juga penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) berkata majikan bertanggungjawab untuk mewujudkan Program Bantuan Pekerja (EAP) bagi membantu pekerja yang berdepan masalah kesihatan mental.

Selain itu, beliau melihat pentingnya kembali kepada keluarga yang menjadi asas kehidupan.

“Apabila seseorang memutuskan untuk membentuk satu keluarga, mesti fikir pentingnya dalam keluarga mempunyai perhubungan yang harmoni antara ahli keluarga. Saya anggap ini sebagai satu prinsip yang amat penting.

“Kalau kita nak mencapai objekif untuk membentuk persekitaran yang baik, kondusif di tempat kerja, ia mesti dimulakan di rumah. Saya rasa anggota keluarga itu akan memberi sokongan padu kepada pekerja itu supaya dia sentiasa boleh berfikiran positif,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengulang cadangan agar Malaysia mewujudkan Indeks Kesejahteraan Psikologi.

“Kalau indeks ini dapat dibangunkan, sekurang-kurangnya boleh digunakan sebagai kayu ukur untuk buat penilaian tentang psikologi mental seseorang.

“Kalau ini boleh dilakukan sudah tentu ia beri manfaat besar kepada majikan terutamanya,” katanya.

Beliau juga sempat menasihatkan mana-mana pekerja yang mempunyai masalah kesihatan mental agar tidak takut atau malu untuk tampil bagi mendapatkan bantuan.

BACA: Kesunyian jejaskan produktiviti di tempat kerja

BACA: Adakah anda sunyi? Kesunyian itu boleh membunuh!