"Naura pasti menangis dan merayu-rayu jika saya tidak berikannya nasi, sedih dan tidak sanggup mendengar rengekannya," luahan rasa Nan Zakiah Megat Ibrahim, 31 tahun, yang berdepan masalah obesiti anaknya.

Pada usia tiga tahun, anak tunggalnya Nik Naura Dalysa Nik Mohammad Zulhairi mempunyai berat badan 23kg dan ketinggian 93cm sedangkan berat ideal untuk kanak-kanak seusianya dalam lingkungan 14.5 - 16kg.

Risau akan kesihatan Nik Naura Dalysa, Nan Zakiah membawa anaknya itu untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar nutrisi dan doktor.

Seorang lagi ibu, Diani Nadia Mat Zin, 35 tahun, juga terpaksa memantau bukan sahaja pemakanan malah berat badan anaknya Tuah Jibriel Shahrul Fadhel, lima tahun.

Anak bongsunya, yang mempunyai berat badan 37kg dan ketinggian 29cm itu, sangat gemarkan makanan berkarbohidrat termasuk nasi, mi dan mihun.

Bimbang akan keadaan itu, Diani Nadia yang bertugas sebagai guru di Pasir Puteh, Kelantan mengambil langkah mengawal pemakanan anaknya.

"Kalau dulu saya beri dia makan tanpa diminta, sekarang tunggu sehingga diberitahu yang dia lapar.

"Saya juga pastikan Tuah sentiasa aktif bermain di luar rumah kerana bimbang jika dia tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain seusianya," jelas beliau.

Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan Prof Madya Dr Hamid Jan Bin Jan Mohamed memberitahu Bernama, Indeks Jisim Badan (BMI) normal untuk kanak-kanak dalam usia Naura Dalysa dan Tuah Jibriel adalah dalam lingkungan 13 - 19kg/m2.

(Cara mengira BMI: Berat badan (kg)/tinggi(cm)x tinggi(cm))

Obesiti dalam kalangan kanak-kanak, menurut beliau, boleh berpunca daripada pelbagai faktor, malah terdapat kajian yang menunjukkan bahawa proses obesiti seseorang itu bermula sejak dalam rahim ibu.

Ibu hamil yang mengamalkan pola makanan berkalori tinggi, kurang menggunakan tenaga untuk aktiviti harian, mengalami peningkatan berat badan atau tekanan emosi yang tinggi sewaktu hamil berisiko lebih tinggi untuk melahirkan bayi yang obes.

BACA: Susu ibu turunkan kemungkinan kadar obesiti kanak-kanak

"Bayi hendaklah diberi makanan seperti yang disarankan, contohnya, susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama kelahiran.

"Jika didedahkan dengan makanan bergula, lemak dan kalori tinggi pada usia muda, maka boleh merangsang penghasilan lemak dan seterusnya menyebabkan obesiti," jelas beliau kepada Bernama.

Dr Hamid Jan menunjukkan secara dasarnya 1,000 hari pertama kehidupan iaitu bermula dari peringkat janin hingga usia dua tahun, adalah tempoh kritikal dan paling penting dalam kehidupan manusia.

Tambah beliau sebarang kepincangan dalam tempoh itu boleh menyebabkan masalah obesiti pada usia muda dan berisiko menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi dan diabetes pada usia awal dewasa.

"Ini kerana dalam tempoh itu pertumbuhan organ dan fisiologi badan manusia masih aktif. Jika tidak memperoleh zat seimbang, boleh menyebabkan pertumbuhan yang tidak normal yang seterusnya menjadi punca pelbagai penyakit berkenaan.

"Kajian jangka panjang juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang obes mempunyai risiko tinggi kekal obes pada usia remaja dan seterusnya sehingga dewasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Dr Norazmir Md Nor menunjukkan kanak-kanak terdedah kepada makanan berlemak, berminyak dan bergula yang lazimnya murah dan mudah didapati di mana sahaja.

"Makanan ringan dan makanan segera bukan sahaja digemari kanak-kanak, bahkan golongan dewasa, sedangkan makanan itu boleh menjejaskan kesihatan.

Dr Norazmir menekankan bahawa pendidikan pemakanan harus dilakukan secara berterusan di peringkat sekolah untuk membendung masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia sudahpun mengambil langkah proaktif dalam mendidik kanak-kanak mengenai penjagaan kesihatan optimum dan cara hidup sihat di sekolah.

"Makanan seharusnya menjadi ubat atau penawar kepada tubuh badan, bukannya memudaratkan kesihatan," tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan kajian Persatuan Pemakanan Malaysia pada 2016 menunjukkan hampir 30 peratus (28.4 peratus) kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan berharap agar pakar-pakar nutrisi dapat membuat semakan dari masa ke masa mengenai pemakanan seimbang di sekolah.

BACA: Pupuk pengambilan makanan sihat di sekolah, cegah obesiti - Subramaniam

"Kementerian Kesihatan perlu melakukan pemantauan lebih teliti dengan melakukan beberapa kawalan berkala bagi memastikan setiap pelajar sekolah khasnya kanak-kanak dapat menikmati makanan sihat, bermutu, segar dan berkualiti tinggi.

"Sekolah juga harus pastikan setiap pelajar menikmati makanan seimbang yang mengandungi sayur-sayuran, buah-buahan, karbohidrat dan protein," katanya.

Beliau seterusnya meminta agar pihak sekolah mempergiatkan aktiviti dan latihan pendidikan jasmani supaya para pelajar sentiasa aktif dan cergas semasa di sekolah.

Bagaimanapun, tambah Mohd Ali, tanggungjawab menangani obesiti tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah kerana ibu bapa hendaklah menjadi 'role model' terbaik kepada anak terutamanya berkaitan budaya pemakanan keluarga.

Corak pemakanan di rumah akan menjadi amalan diet harian kanak-kanak, baik di sekolah atau di mana sahaja mereka berada.

"Misalnya, mungkin juga sekolah boleh mengawal penjualan makanan ringan, pelajar akan tetap membelinya sebaik sahaja keluar pagar sekolah di mana mereka mudah memperolehinya. Jadi, amat penting mendidik dan mengawal sejak dari rumah," katanya.

Mohd Ali juga menasihati ibu bapa yang mempunyai anak obes agar tidak malu untuk mendapatkan rawatan daripada pakar nutrisi dalam membantu menyelesaikan masalah obesiti anak mereka.

-- BERNAMA