Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) menegurkan lima stesen televisyen republik itu kerana liputan dan pemberitaan yang tidak seimbang terhadap calon-calon presiden menjelang pilihan raya Julai ini.

Teguran itu dilayangkan kepada Metro TV, TV One, dan Grup MNC iaitu RCTI, MNC TV dan Global TV.

Laman web Koran Tempo melaporkan teguran itu dibuat kerana semua stesen televisyen berkenaan menayangkan kegiatan calon presiden secara tidak seimbang.

"Kami berikan peringatan kepada lima stesen televisyen ini kerana tidak berimbang," kata anggota KPI, Iddy Muzzayad dalam satu sidang media pada Isnin seperti dipetik Tempo.co.

Menurut Iddy, pemberitaan stesen televisyen tersebut cenderung berlebihan, tidak neutral dan tidak berimbang. Beliau menyifatkan hal itu berlaku kerana pemilik stesen televisyen itu memiliki kepentingan politik pada pemilihan presiden kali ini.

Menurut Koran Tempo, beberapa orang pemilik stesen televisyen itu memang dekat dengan kedua-dua calon presiden. Metro TV, yang dimiliki oleh Ketua Umum Parti Nasional Demokrat (NasDem) Surya Paloh, mendukung pasangan Joko Widodo dan Jusuf Kalla. Pemilik Grup MNC, Hary Tanoesoedibjo mendukung pasangan Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa setelah keluar dari Partai Hati Nurani Rakyat (Hanura). Ketua Umum Parti Golkar, Aburizal Bakrie pula adalah pemilik TV One dan mendukung Prabowo.

Menurut Iddy, berdasarkan pemantauan KPI antara 19 hingga 25 Mei lepas, Metro TV memberikan ruang yang lebih banyak dan tempoh lebih panjang kepada Jokowi dan Kalla manakala TV One dan Grup MNC lebih banyak memberitakan Prabowo dan Hatta.

Sehubungan itu, KPI meminta media penyiaran dan media massa lainnya untuk menjaga integriti dan bersikap bebas dalam membuat liputan pilihan raya presiden ini serta mematuhi prinsip-prinsip kewartawanan yang demokratik. -- Agensi