Dalam tempoh tidak sampai sebulan, lebih 13 juta pengundi akan membuat penentuan memilih kerajaan yang akan mewakili mereka untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilihan raya ini disifatkan oleh banyak pemerhati sebagai ibu kepada segala pilihan raya kerana persaingan yang dirasakan cukup sengit selepas keputusan pilihan raya umum yang lalu.

Petugas-petugas parti politik sejak beberapa bulan yang lepas telah melancarkan gerak kerja berkempen dan kempen itu kini masuk ke fasa yang akhir. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 hari sebagai tempoh kempen rasmi bermula 20 April ini.

Menjelang tempoh kempen rasmi itu, pihak polis telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan menghormati proses pilihan raya. Ia juga menyatakan kesediaan untuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 — undang-undang yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) — bagi memastikan pilihan raya umum ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan.

Amaran dan kesediaan pihak berkuasa bertindak tegas adalah sesuatu yang sangat wajar. Apatah lagi dalam tempoh beberapa hari ini, pihak polis telah menerima beberapa laporan mengenai tindakan pekerja-pekerja parti politik yang bertanding yang melanggar undang-undang termasuk pergaduhan kecil dan insiden membakar bendera parti politik.

Kita memandang serius apa yang berlaku. Ia tidak seharusnya terjadi dalam sebuah masyarakat yang sedang menuju ke tahun 2020 untuk jadi sebuah negara maju dan menjadi sebuah masyarakat demokratik yang matang, bermoral dan beretika, liberal dan bertolak ansur.

Kita menyedari bahawa suhu politik di negara ini sudah cukup hangat sejak pilihan raya 2008. Kita dikatakan sebagai sebuah masyarakat yang terlalu banyak berpolitik; segala-galanya selalu dilihat dari kanta politik. Janganlah hendaknya ada mana-mana pihak yang bersikap mencurah minyak ke atas bara yang telah lama menyala itu.

Semua parti politik wajar mengingatkan ahli masing-masing untuk menjaga disiplin dan bersikap matang. Mereka yang nakal itu jumlahnya sedikit tetapi jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Semua parti politik wajar beringat bahawa tidak semua di kalangan lebih 13 juta pengundi itu menjadi ahli kepada mana-mana parti politik dan tindak-tanduk ahli mereka sedang diperhatikan dengan dekat oleh semua rakyat yang cintakan keamanan.

Ini juga adalah tugas dan tanggungjawab kita semua untuk sama-sama memastikan bahawa pilihan raya kali ini berjalan dengan bersih, lancar dan aman. Kita tidak mahu pilihan raya negeri ini tercemar seperti pilihan raya yang berlaku di banyak negara asing. Masa depan dan keamanan negara ini terlalu berharga untuk kita perjudikan dengan sikap tidak bertanggungjawab yang tidak menghormati proses pilihan raya.