Kira-kira 200 penduduk Kampung Pulau Rusa dekat sini terpaksa berpindah buat kali kedua ekoran pusat pemindahan banjir yang mereka duduki sebelum ini di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa mulai dinaiki air sejak semalam.

Menurut Ketua Kampung, Nawawi Kassim walaupun ramai dari kalangan mangsa yang enggan berpindah tetapi atas faktor keselamatan, mereka terpaksa akur dan dipindahkan secara berkumpulan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan bot sejak pagi tadi.

"Kita sudah duduk di sini sejak Rabu lepas, pada masa itu kita jangka air tidak akan naik setinggi ini. tetapi semalam pihak bomba datang dan menasihatkan kami segera berpindah ke pusat pemindahan di Peramu disebabkan air sudah hampir mencecah tingkat dua bangunan sekolah.

"Atas faktor keselamatan, penduduk kampung pada mulanya enggan berpindah tetapi terpaksa akur kerana kami diberitahu paras air sungai akan semakin meningkat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Zainon Awang Kecik, 60, pula berkata dia terpaksa memujuk tiga lagi anggota keluarganya iaitu anak dan cucunya agar segera berpindah seperti arahan pihak bomba kerana pusat itu sudah tidak lagi selamat untuk didiami ekoran paras air yang kian meningkat.

"Mak cik memang risau, kelmarin paras air masih biasa dan tak jangka boleh naik setinggi ini. Kawasan ini memang biasa banjir tapi setelah mendengar satu negara sudah banjir dan ditambah keadaan sekarang, mak cik pun pujuk anak mak cik supaya ikut pindah ke Peramu," katanya.

Shamsuddin Salleh, 49, pula mengucapkan penghargaan kepada pihak bomba yang menyelamatkan mangsa di pusat pemindahan tersebut walaupun ada dalam kalangan mereka yang teragak-agak untuk berpindah.

"Saya faham perasaan orang kampung, mereka sudah biasa menghadapi banjir setiap tahun dan rasa banjir kali ini tidak seteruk mana. Namun saya nasihatkan mereka agar berpindahlah sebab situasi banjir di tempat-tempat lain pun teruk, tidak mustahil kawasan ini turut menghadapi nasib yang sama," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abd Wahab Mat Yasin yang turut terlibat dalam operasi tersebut menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir terutama di kawasan berdekatan sungai agar segera berpindah ke pusat pemindahan bagi mengelak terperangkap dalam banjir.

"Apabila sudah berada di tempat yang selamat, kehidupan mangsa banjir akan lebih terurus sebab di pusat pemindahan semua kemudahan ada termasuk makanan, bekalan air bersih dan elektrik serta ubat-ubatan.

"Jika lambat keluar, usaha menyelamat mungkin akan sedikit sukar dan boleh menyebabkan mangsa terperangkap dalam rumah dan ini boleh mengakibatkan mereka terputus komunikasi dan mungkin juga risiko kehabisan bekalan makanan," katanya.

Operasi pemindahan tersebut turut disertai oleh kira-kira 20 orang pegawai dan anggota bomba dari balai Kuantan dan Pekan.