BARCELONA: Sokongan Malaysia terhadap isu Palestin terus mendapat perhatian dunia apabila negara ini secara konsisten tampil dalam gerakan membantah kekejaman rejim Zionis Israel.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) Tiago Ávila menyifatkan penglibatan rakyat Malaysia dalam misi GSF 2.0 sebagai sesuatu yang amat menakjubkan dan memberi makna besar kepada perjuangan solidariti antarabangsa.
Advertisement
“Solidariti daripada Malaysia, seluruh rantau Nusantara sangat menakjubkan, kami amat berterima kasih atas perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Menurut beliau, misi kali ini sangat signifikan kerana masih terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat antarabangsa yang menganggap keadaan di Gaza telah kembali aman susulan gencatan senjata separa antara Hamas dan Israel yang termeterai pada 25 Oktober tahun lalu.
Hakikatnya, tegas Tiago, keganasan masih berterusan di Gaza.
“Ramai rakyat (Palestin) masih terus dibunuh, bantuan masih disekat, tanah Palestin masih dirampas oleh Zionis,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman daripada misi GSF 1.0 mencetuskan gelombang kesedaran global apabila beberapa negara mula mengiktiraf Palestin, selain melaksanakan sekatan eksport tenaga dan minyak serta mengusir diplomat Israel sebagai tindak balas terhadap konflik berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan hanya dapat dicapai sekiranya masyarakat dunia bangkit dengan kesedaran kolektif dan bersatu dalam menentang kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Tiago turut mengkritik tindakan Israel dan Amerika Syarikat yang menurutnya bertindak sewenang-wenangnya termasuk serangan ke atas Iran dan Lubnan serta sekatan berterusan terhadap Cuba, yang perlu dihentikan segera.
“Flotila ini bukanlah perkara terbaik dan juga tidak seharusnya menjadi satu-satunya usaha, namun ia adalah sebahagian daripada gerakan kolektif untuk mengubah realiti dan tidak membiarkan tragedi genosid yang mengerikan ini terus berlaku,” katanya lagi.
GSF 2.0 melibatkan lebih 80 buah kapal yang dijangka belayar menuju Gaza esok.
Flotila berkenaan akan singgah di beberapa pelabuhan bagi mengumpul kekuatan sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza dalam keadaan berdepan ancaman tentera Israel.
Misi ini membawa tema “memecah kepungan dan keheningan di Gaza” sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan.