SEJUMLAH 179 ribu kekosongan jawatan di sektor swasta pada suku ketiga 2020, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada hari ini. Statistik ini diterbitkan dalam laporan STATISTIK GUNA TENAGA, SUKU KETIGA 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar sektor swasta. Laporan ini membentangkan statistik permintaan buruh merangkumi jawatan, jawatan diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Menurut Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, “Pada suku ketiga 2020, kekosongan jawatan meningkat sedikit berbanding suku yang lepas kepada 179 ribu. Kadar kekosongan jawatan pada suku ini adalah 2.1 peratus daripada jumlah jawatan (ST2 2020: 2.0%). Walau bagaimanapun, jumlah ini adalah lebih rendah berbanding kekosongan jawatan bagi tempoh suku tahunan 2019 iaitu dalam lingkungan 198 ribu hingga 218 ribu. Daripada keseluruhan kekosongan jawatan pada suku ketiga tahun ini, 55.7 peratus adalah kategori jawatan separuh mahir manakala jawatan mahir merangkumi 22.7 peratus. Lebih separuh kekosongan jawatan berada di sektor Pembuatan (56.0%), sebahagian besarnya di subsektor produk Elektrik, Elektronik dan optikal serta produk Petroleum, kimia, getah dan plastik.”

Mengulas lanjut mengenai kedudukan jawatan di sektor swasta, beliau berkata, ”Bilangan jawatan meningkat sebanyak 88 ribu kepada 8.5 jawatan (ST2 2020: 8.4 juta). Kadar pengisian jawatan pada suku ini adalah 97.9 peratus (ST2 2020: 98.0%) bersamaan dengan 8.3 juta. Melihat kepada komposisi jawatan diisi mengikut kategori kemahiran, sebahagian besarnya adalah kategori separuh mahir dengan sumbangan 62.5 peratus (5.2 juta) manakala jawatan kategori mahir meliputi 24.4 peratus (2.0 juta). Sejumlah 1.5 juta jawatan diisi (52.5%) tertumpu di sektor Perkhidmatan diikuti Pembuatan (26.0%) dan Pembinaan (15.2%). Selebihnya di Pertanian (5.4%) dan Perlombongan & Pengkuarian (1.0%).” Selain itu, sebanyak 21 ribu jawatan baharu diwujudkan di sektor swasta pada suku ini berbanding 13.7 ribu jawatan pada suku sebelumnya. Majoriti pewujudan jawatan adalah kategori separuh mahir yang merangkumi 62.9 peratus atau 13.1 ribu manakala kategori mahir meliputi 28.1 peratus (5.9 ribu). Mengikut aktiviti ekonomi, sejumlah 42.9 peratus atau 9.0 ribu jawatan baharu diwujudkan di sektor Pembuatan, terutamanya di subsektor produk Petroleum, kimia, getah dan plastik serta produk Elektrik, elektronik dan optikal. Sementara itu, 38.9 peratus (8.1 ribu) daripada jawatan baharu yang diwujudkan adalah di sektor Perkhidmatan, terutamanya di subsektor Perdagangan borong dan runcit serta Kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan.”

Merumuskan kenyataan beliau pada hari ini, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, “Secara keseluruhannya, pembukaan semula lebih banyak perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dilaksanakan sejak Jun 2020 menyaksikan peningkatan kecil dalam permintaan buruh pada suku ketiga 2020, berikutan perniagaan masih dalam fasa penyesuaian dan belum beroperasi pada tahap optimum. Dengan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan perancangan ekonomi jangka masa pendek oleh kerajaan seperti PENJANA, akan melegakan dan meningkatkan kelangsungan perniagaan.”

Pelaksanaan Banci Malaysia 2020 fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September 2020 secara dalam talian (e-Census) telah dilanjutkan sehingga 21 Disember 2020 manakala fasa kedua akan bermula pada 20 Januari hingga 6 Februari 2021 dengan menggunakan kaedah temuramah bersemuka, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan kejayaan bancian.

Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020.



Dikeluarkan oleh:
PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2020