BUSINESS
30% Club Malaysia rai ulang tahun ke-10, lancar inisiatif libat pemimpin lelaki sokong kesaksamaan gender

Barisan pemimpin 30% Club Malaysia bersama rakan korporat pada sambutan ulang tahun ke-10 dan pelancaran inisiatif Men Allies for Parity di ibu negara. - Gambar 30% Club Malaysia
KUALA LUMPUR: Kempen kesaksamaan gender dalam kepimpinan korporat diperhebat dengan pelancaran inisiatif Men Allies for Parity oleh 30% Club Malaysia, sempena ulang tahun ke-10 pertubuhan itu.
Inisiatif tersebut mengiktiraf peranan penting pemimpin lelaki dalam mempercepatkan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, jawatan C-suite dan bidang penggubalan dasar.
Pengerusi 30% Club Malaysia merangkap Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia, Nurul A’in Abdul Latif berkata, inisiatif itu merupakan peralihan daripada advokasi kepada tindakan konkrit melalui ikrar dan komitmen jelas daripada pemimpin lelaki.
“Inisiatif ini mengalihkan fokus daripada advokasi kepada tindakan, dengan pemimpin lelaki membuat ikrar untuk menunjukkan komitmen mereka dalam memperkasa penyertaan wanita di peringkat tertinggi, termasuk dalam lembaga pengarah dan pengurusan kanan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.Menurut beliau, usaha memperkukuh penyertaan wanita menunjukkan perkembangan positif hasil komitmen bersama sektor korporat dan penggubal dasar.
“30% Club percaya bahawa kepimpinan seimbang adalah kelebihan strategik yang membawa kepada hasil perniagaan lebih baik. Ini bukan soal tokenisme, pematuhan atau kepentingan diri, sebaliknya tentang membina ruang untuk bakat terbaik menyerlah,” tegasnya.

Pengerusi 30% Club Malaysia, Nurul A'in Abdul Latif menekankan pentingnya sokongan pemimpin lelaki dalam memperkasa penyertaan wanita di peringkat tertinggi organisasi. - Gambar 30% Club Malaysia
Nurul A’in turut menekankan bahawa sokongan aktif daripada pemimpin lelaki amat penting untuk mencapai pariti sebenar.
“Sokongan daripada pemimpin lelaki dalam rangkaian kami bukan sahaja dialu-alukan, malah amat penting untuk menjayakan hala tuju ini,” tambahnya.
Berdasarkan data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia setakat 1 April 2025, wanita kini memegang 33.1 peratus kerusi lembaga pengarah dalam 100 syarikat senarai awam terbesar di Bursa Malaysia, berbanding 14 peratus pada 2015. Secara keseluruhan, wanita mengisi 28 peratus kerusi lembaga di semua syarikat tersenarai.
30% Club Malaysia turut memperkenalkan ikrar khusus di bawah inisiatif Men Allies for Parity, antaranya menyokong pencalonan pemimpin wanita untuk jawatan kanan, menetapkan sasaran dalaman penyertaan wanita serta melaksanakan laporan kemajuan yang telus.
Satu kerangka pemantauan sedang dibangunkan bagi menjejak kemajuan, berteraskan akauntabiliti rakan sejawat dan ketelusan awam. Kisah kejayaan daripada syarikat-syarikat akan dijadikan rujukan untuk dorongan lebih meluas.
Jelasnya, usaha ini selari dengan tema tahunan 30% Club Malaysia, Shaping an Inclusive Future Together, yang menekankan tanggungjawab bersama untuk membentuk masa depan yang adil dan inklusif.
“Semuanya berkisar kepada tindakan sebenar dan tanggungjawab bersama, bukan sekadar retorik,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi, serta rakan strategik termasuk ASTRO, Berjaya Corporation, Bursa Malaysia, Sunway, Tropicana Corporation, Velesto Energy, TBWA Malaysia, Nespresso Malaysia, Malaysian Institute for Development of Professionals dan Star Media Group.
30% Club Malaysia merupakan kempen sukarela yang diterajui pemimpin korporat pelbagai industri, dengan matlamat mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita di peringkat lembaga dan pengurusan tertinggi.
Selain fokus kepada gender, pertubuhan itu turut menyokong kepelbagaian inklusif secara menyeluruh, termasuk membina budaya kerja yang menyokong pembangunan semua golongan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami