KUALA LUMPUR: Sejumlah hampir 40 syarikat pemula dipilih untuk menyertai program MYStartup Pre-Accelerator yang dilancarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memberikan inspirasi dalam melaksanakan strategi perniagaan, akses kepada pasaran dan pembiayaan.

Program selama enam bulan itu akan menyaksikan syarikat pemula yang dipilih menjalani proses pemilihan empat peringkat sebelum diberikan akses kepada peluang berinteraksi dengan pemain industri utama, pelabur berpotensi dan pakar perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn Bhd, Rafiza Ghazali berkata, program itu adalah sebahagian daripada strategi MYStartup yang dimulakan oleh MOSTI di mana ia bertujuan untuk mewujudkan syarikat pemula yang berjaya di peringkat global.

“Seperti yang sering kita lihat di dalam ekosistem, syarikat pemula peringkat awal akan mendapat lebih banyak manfaat daripada tunjuk ajar dan bimbingan yang betul dalam mendapatkan pelaburan dan dalam perjalanan mereka mengembangkan perniagaan mereka.

"Cradle berharap melalui inisiatif seperti program MYStartup Pre-Accelerator, kami akan dapat memperkasakan mereka dengan kepintaran perniagaan dan kepakaran kewangan sambil menghubungkan mereka dengan rangkaian dan sumber yang sangat diperlukan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BEYOND4, S.T Rubaneswaran berkata, pihaknya memberi penumpuan kepada pelbagai bakat melalui Ekosistem Pemecut Pelbagai Peringkat Pintar (Intelligent Multi-Tier Accelerator Ecosystem) kami.

Katanya, Startup Accelerator itu antara lain bertujuan untuk memacu ekosistem syarikat pemula serantau perkongsian strategik.

"Kami berharap 40 syarikat pemula terbaik ini akan memanfaatkan sepenuhnya sumber yang kami sediakan untuk berkembang dan terus mara pada masa akan datang," katanya.

Program itu menyediakan program masterclass akan menyaksikan syarikat pemula akan menyertai bengkel maya dan amali, sesi ask-me-anything (AMA) dengan pakar pembangunan produk dan sesi rangkaian.

Selain itu, mereka akan dipadankan dengan mentor daripada pemain industri utama antarabangsa dan tempatan yang dipilih khas, pengasas syarikat pemula yang berjaya dan pelabur utama.

Syarikat pemula yang berjaya di Demo Day berpeluang menerima pelaburan daripada Cradle di bawah program pembiayaan CIP SPARK bernilai sehingga RM150,000 dan ia merupakan tambahan peluang kepada pelaburan dan pecutan sehingga  RM50,000 termasuk tawaran menyertai program pemecut anjuran BEYOND4. - DagangNews.com