Petani Perancis teruskan sekatan jalan raya meskipun ada gesaan kedamaian sementara untuk Krismas

Petani Perancis mengadakan protes sejak seminggu lepas bagi membantah dasar kerajaan yang menakai kumpulan lembu secara sistematik susulan pengesanan penyakit kulit berketul. - Foto AP
ISTANBUL: Petani di Perancis pada Sabtu meneruskan protes susulan bantahan terhadap penakaian lembu akibat penyakit kulit dan perjanjian perdagangan EU-Mercosur, meskipun terdapat gesaan kerajaan agar kedamaian sementara dilakukan sempena sambutan Krismas, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut penyiar BFMTV, para petani meneruskan sekatan di jalan raya dan lebuh raya di barat daya Perancis walaupun Perdana Menteri Sebastien Lecornu mengumumkan dana sokongan berjumlah EUR11 juta (AS$12 juta) selepas rundingan dengan kesatuan pertanian, selain penangguhan pemeteraian perjanjian Mercosur.
Lecornu turut mencadangkan satu pertemuan baharu bersama kesatuan-kesatuan terbabit pada awal Januari depan.
Pada Jumaat, kira-kira 80 sekatan jalan raya sama ada sepenuhnya atau sebahagian telah direkodkan, terutamanya di kawasan selatan.
Petani Perancis mengadakan protes sejak seminggu lepas bagi membantah dasar kerajaan yang menakai kumpulan lembu secara sistematik susulan pengesanan penyakit kulit berketul.
Mereka juga menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap perjanjian perdagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dengan blok Amerika Selatan yang dianggotai Brazil, Argentina, Paraguay dan Uruguay (Mercosur).
"Perancis telah berjaya menangguhkan pemeteraian perjanjian dengan Mercosur kerana pada peringkat ini, terma yang ditetapkan adalah tidak memuaskan. Kami mengemukakan tuntutan yang munasabah seperti yang dibangkitkan oleh petani kami: klausa perlindungan yang kukuh, timbal balik melalui klausa cermin, dan kawalan berkesan terhadap produk import," kata Presiden Perancis Emmanuel Macron menerusi hantaran di platform X.
Pada Khamis, petani dari seluruh Eropah turut berkumpul di Brussels bagi membantah perjanjian berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


