KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak terasing daripada terkena tempias inflasi yang kini melanda serata dunia dengan 45 peratus rakyat negara ini mengakui situasi kewangan mereka sekadar cukup makan.

Tinjauan melalui Ipsos Global Inflation Monitor mendapati rakyat terpaksa mengikat perut berikutan tekanan daripada inflasi dan kenaikan kadar faedah.

Malah, jumlah rakyat Malaysia yang mengakui mereka hidup dengan selesa amat kurang berbanding ekonomi-ekonomi utama yang lain, iaitu hanya 29 peratus di Malaysia berbanding 42 peratus di Korea Selatan, 53 peratus di India dan 40 peratus bagi purata global.

“Kenaikan kadar faedah yang dijangka akan berlaku memberi kesan kepada empat daripada 10 orang rakyat Malaysia dalam bentuk pendapatan boleh guna yang lebih rendah dalam masa terdekat, menyebabkan penurunan taraf hidup mereka.

“Penurunan mendadak dalam tahap keselesaan rakyat Malaysia ketika melakukan pembelian isi rumah dan pembelian lebih besar menunjukkan bahawa mereka mungkin perlu menilai semula keutamaan dalam perbelanjaan jangka pendek,” kata Pengarah Bersekutu Ipsos Public Affairs, Lars Erik Lie.



Meskipun kebimbangan berhubung COVID-19 kini berkurangan, kadar inflasi dan kemiskinan telah memintas pandemik itu sebagai perkara utama yang kini menjadi kebimbangan rakyat Malaysia.

Setakat Julai, 42 peratus responden bersetuju bahawa inflasi menjadi kebimbangan utama, diikuti isu kemiskinan dengan 35 peratus dan wabak COVID-19 sebanyak 24 peratus.

Rentetan daripada tekanan inflasi, trend pembelian dalam kalangan rakyat mula merosot sejak dua bulan lalu, dengan hanya 32 peratus responden bersetuju mereka selesa membuat pembelian barangan utama seperti rumah dan kereta pada bulan Jun, berbanding 40 peratus pada Mei lalu.



“Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, perbelanjaan untuk bersosial dan bercuti adalah antara perkara pertama yang dipotong apabila belanjawan isi rumah mula dibuat dengan lebih berhati-hati.

“Ia diikuti penangguhan pembelian-pembelian besar dan pengurangan perbelanjaan isi rumah, sebelum perbelanjaan untuk makanan dikurangkan atau simpanan digunakan,” kata Lars.