Peningkatan kos sara hidup, penurunan harga minyak dunia serta harga komoditi dan tekanan terhadap kadar nilai matawang ringgit Malaysia menyebabkan ekonomi semasa berada dalam keadaan tidak menentu.

Justeru, pasaran hartanah dijangka akan lebih mencabar dengan kadar aktiviti jual beli yang lebih sederhana pada tahun ini. Ia akan kekal dalam mod tunggu-dan-lihat di mana pembeli semakin kritis dalam pembelian semua sektor hartanah sementara mengharapkan pembelian murah wujud di pasaran.

Ini adalah unjuran pasaran hartanah bagi 2016 oleh syarikat perunding hartanah antarabangsa, Rahim & Co.
Rahim
Syarikat perunding hartanah antarabangsa, Rahim & Co pada pembentangan tinjauan prospek hartanah 2016. - Foto Astro AWANI/ Hana Ismail


1. HARGA HARTANAH AKAN MENINGKAT PADA KADAR PERLAHAN

Purata harga hartanah dijangka akan terus meningkat, tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding 2-3 tahun yang lepas. Bergantung kepada lokasi dan jenis hartanah, mungkin akan berlakunya pengukuhan harga di mana jurang antara harga permintaan penjual menghampiri harga ditawarkan pembeli.

"Kita menyaksikan jumlah transaksi kediaman menurun pada 2015 berbanding 2014. Ini membuktikan realiti kelembapan pasaran hartanah"

Rahim & Co.


2. NISBAH KEMAMPUAN MEMBELI RUMAH SEMAKIN PULIH

Walaupun harga rumah atau kediaman secara amnya masih meningkat, nisbah kemampuan membeli rumah teres di Malaysia semakin pulih daripada 3.6 pada 2014 kepada 3.4 pada 2015. Secara purata, harga sebuah rumah teres adalah bersamaan 3.4 kali ganda jumlah pendapatan tahunan kasar isi rumah atau keluarga. Ini bermakna semakin rendah kadar nisbah, semakin tinggi kemampuan membeli rumah.


3. RUMAH MAMPU MILIK AKAN TERUS JADI FOKUS UTAMA

Bagi 2016, fokus akan lebih ditumpukan kepada segmen rumah mampu milik dan juga pasaran sekunder yang mempunyai permintaan yang lebih tinggi melibatkan pemilik asal dan penghuni.

"Kerajaan kini sedang berusaha membina lebih banyak lagi rumah mampu milik dengan kadar segera dan ia akan terus menjadi agenda utama kerajaan. Ia juga adalah impian Perdana Menteri untuk melihat lebih banyak rumah mampu milik disediakan kepada rakyat negara ini."

Senator Tan Sri Dato' Abdul Rahim Abdul Rahman, Pengerusi Eksekutif, Rahim & Co.


4. PASARAN RUANG PEJABAT TERUS MENCABAR

Dengan lanjutan pengurangan harga minyak dunia serta kadar pengangguran yang dilihat semakin meningkat, pasaran ruang pejabat akan terus berdepan tempoh mencabar tahun ini.

Bagaimanapun, bangunan pejabat Gred A yang mempunyai status 'Multimedia Super Corridor (MSC)' , penarafan bangunan hijau atau terletak di dalam lingkungan kemudahan hab pengangkutan akan kekal popular di kalangan penyewa dan pembeli.


5. KEMUDAHAN PINJAMAN DIJANGKA BERTAMBAH SUKAR

Bank-bank serta institusi kewangan dijangka akan mengurangkan modal pinjaman di samping mengubahsuai serta mengetatkan syarat kepada peminjam. Kadar penolakan pinjaman juga dijangka meningkat lebih daripada 50 peratus.

"Pembeli tidak dapat memperoleh pinjaman kerana polisi kewangan yang ditetapkan Bank Negara yang kini lebih ketat. Ia juga sebagai langkah kerajaan mengurangkan hutang isi rumah."

Senator Tan Sri Dato' Abdul Rahim Abdul Rahman, Pengerusi Eksekutif, Rahim & Co.