BISNES
99 peratus rakyat Malaysia dijangka guna pembayaran digital tahun depan - Mastercard

Penggunaan pembayaran digital dijangka meningkat di Malaysia, dengan 99 peratus pengguna berkemungkinan menggunakan kaedah pembayaran digital baharu pada tahun hadapan, menurut tinjauan oleh Mastercard. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Penggunaan pembayaran digital dijangka meningkat di Malaysia, dengan 99 peratus pengguna berkemungkinan menggunakan kaedah pembayaran digital baharu pada tahun hadapan, menurut tinjauan oleh Mastercard.
Tinjauan itu juga mendapati pengguna di negara ini mahukan pilihan dalam kategori pembayaran, dengan 93 peratus dijangka menggunakan lima atau lebih kaedah pembayaran dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Walaupun wang tunai masih menjadi kaedah pembayaran paling banyak digunakan di Malaysia yang melibatkan 70 peratus pengguna tahun lepas -- mengatasi pembayaran menggunakan kod respons pantas (QR) iaitu 64 peratus, penggunaan kaedah pembayaran digital dijangka meningkat dalam tempoh setahun akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mastercard 86 peratus pengguna di negara ini berkemungkinan menggunakan perkhidmatan pembayaran segera manakala 85 peratus dan 83 peratus pengguna pula dijangka memanfaatkan pembayaran kod QR dan dompet digital pada tahun depan."Keutamaan terhadap inovasi ini turut meliputi teknologi baharu lain, dengan 89 peratus pengguna Malaysia (berbanding 86 peratus di seluruh rantau Asia Pasifik) berkata mereka berminat menggunakan kecerdasan buatan untuk menguruskan kewangan terutamanya bagi mengesan penipuan, automasi pembayaran, personalisasi produk dan jangkaan hasil kewangan.
"Terdapat juga peningkatan permintaan terhadap pilihan pembayaran yang dapat memaksimumkan nilai dompet mereka. Sebanyak 91 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa status kewangan semasa mereka berperanan penting dalam pemilihan kaedah pembayaran -- antara yang tertinggi di dunia," katanya.
Tinjauan oleh Mastercard yang dijalankan bermula 4 hingga 20 Sept 2024 mengumpulkan maklum balas daripada 19,302 pengguna di lima rantau global termasuk 9,131 pengguna di Asia Pasifik dan 1,010 pengguna di Malaysia.
Lima rantau itu merangkumi Amerika Utara, Amerika Latin dan Caribbean, Eropah, Timur Tengah dan Afrika, serta Asia Pasifik (merangkumi Australia, China, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam).
Mastercard menekankan bahawa penggunaan pembayaran digital semakin diminati di negara ini apabila rakyat Malaysia menggunakan pilihan pembayaran inovatif dan segera beralih kepada ekosistem yang mengutamakan mudah alih.
"Kaji selidik terkini oleh Mastercard menunjukkan hampir dua pertiga (63 peratus) pengguna di Malaysia lebih gemar menggunakan kaedah baharu dan inovatif seperti pembayaran mudah alih 'tap and go,' pembayaran biometrik, kod QR dan dompet digital berbanding kaedah tradisional seperti bayaran secara tunai atau penggunaan kad secara manual.
"Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding hanya 25 peratus di Amerika Utara, 24 peratus di Eropah, dan 53 peratus di seluruh Asia Pasifik sekali gus menunjukkan keterbukaan pengguna Malaysia terhadap penyelesaian pembayaran digital baharu," menurut kenyataan itu.
Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia dan Brunei Beena Pothen berkata melalui gaya hidup berasaskan digital dan mudah alih yang membentuk tingkah laku pengguna di Malaysia, inovasi dan keselamatan dalam pembayaran akan menjadi teras untuk mengekalkan momentum ini.
"Mastercard kekal komited untuk memacu kemajuan dalam bidang ini, dengan memanfaatkan pandangan global, teknologi terkemuka dan kepakaran mendalam untuk memajukan masa depan pembayaran -- memberikan kemudahan dan keyakinan yang lebih baik melibatkan kesemua pengalaman pembayaran bagi pengguna di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami