Skip to main content

Dunia

Viktor Orban tersingkir selepas 16 tahun berkuasa, pembangkang Hungary menang besar

Hungary's Prime Minister Viktor Orban, center, flanked by his team reacts after a parliamentary election in Budapest, Hungary, Sunday, April 12, 2026. (AP Photo/Petr David Josek)
Orban (tengah), diapit oleh anggota pasukannya, bertindak balas selepas keputusan pilihan raya parlimen di Budapest, Hungary. - Foto AP

BUDAPEST: Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, disingkirkan daripada jawatan selepas 16 tahun berkuasa apabila parti pembangkang mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara itu, dalam keputusan yang disifatkan sebagai perubahan politik paling ketara dalam sejarah moden Hungary.

Keputusan awal menunjukkan parti pembangkang berhaluan tengah kanan dan pro-Kesatuan Eropah, Tisza, yang dipimpin oleh Peter Magyar, memperoleh majoriti besar di Parlimen, berpotensi mencapai dua pertiga kerusi.

Advertisement

Kemenangan itu membuka laluan kepada pembangkang untuk membentuk kerajaan baharu dan melaksanakan perubahan undang-undang yang menyeluruh.

Orban, yang telah memimpin Hungary sejak 2010, mengakui kekalahan dalam ucapan kepada penyokongnya lewat malam Ahad.

Beliau menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai “menyakitkan tetapi jelas”, sambil memaklumkan bahawa beliau telah mengucapkan tahniah kepada pihak lawan dan akan meneruskan perkhidmatan kepada negara dari bangku pembangkang.

Sepanjang tempoh pemerintahannya, Orban dikenali dengan dasar nasionalis dan pendekatannya yang sering mencetuskan ketegangan dengan Kesatuan Eropah mengenai isu kedaulatan undang-undang, kebebasan media dan kebebasan kehakiman.

Pentadbirannya turut dilihat rapat dengan Rusia dan sering menghalang konsensus EU, termasuk berkaitan bantuan kepada Ukraine.

Sebaliknya, Peter Magyar berkempen atas janji untuk membanteras rasuah, memulihkan perkhidmatan awam serta memperbaiki hubungan Hungary dengan Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam ucapan kemenangan kepada penyokongnya di Budapest, beliau menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai “kemenangan untuk demokrasi” dan berikrar untuk membawa Hungary kembali ke arus perdana Eropah.

Kadar keluar mengundi dilaporkan mencecah paras tertinggi, mencerminkan minat dan harapan besar pengundi terhadap perubahan politik.

Penyokong pembangkang dilaporkan berkumpul di beberapa lokasi utama di ibu negara sejurus keputusan awal diumumkan.

Kejatuhan Orbán turut menarik perhatian antarabangsa, memandangkan beliau merupakan sekutu rapat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pemerhati menjangkakan perubahan kepimpinan di Budapest boleh memberi kesan besar terhadap dinamik Kesatuan Eropah, sokongan kepada Ukraine serta landskap politik sayap kanan di Eropah.

Perkembangan seterusnya akan bergantung pada pengesahan rasmi keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan baharu, namun keputusan awal sudah menandakan berakhirnya era pemerintahan Orban yang berpanjangan di Hungary.

 

Must Watch Video