KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd telah memfailkan draf prospektus untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan Pengasasnya, Lee Thiam Wah merancang untuk menawarkan sehingga 17% kepentingan atau 1.43 bilion saham. 

Pendedahan prospektus yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga mencadangkan tebaran pegangan saham awam minimum sebanyak 15%, berbanding 25% biasa seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia. 

1.43 bilion saham tersebut terdiri daripada 1.028 bilion saham sedia ada adalah untuk tawaran jualan dan terbitan awam 400 juta saham baharu. 

Menurut draf berkenaan, tawaran pelabur institusi melibatkan 1.218 bilion saham, iaitu 14.5% daripada modal saham terbitan kumpulan yang diperbesarkan dan terdiri daripada 1.028 bilion saham sedia ada dan 190 juta saham baharu. 

Penawaran bagi pelabur runcit pula melibatkan 210 juta saham baharu, mewakili 2.5% daripada modal saham kumpulan yang diperbesarkan, dengan 42 juta saham dikhaskan untuk kakitangan berkelayakan manakala 168 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia.

Draf prospektus itu tidak memberikan butiran harga IPO. 

99 Speed Mart merancang untuk menggunakan hasil daripada IPO untuk menambah cawangannya, menubuhkan pusat pengedaran baharu, membeli trak penghantaran dan menaik taraf cawangan sedia ada. 

Kumpulan itu juga akan memperuntukkan sebahagian daripada hasil untuk membayar balik pinjaman bank sedia ada.

“Matlamat kami adalah untuk terus mengembangkan kehadiran dengan sasaran 250 cawangan baharu setiap tahun, dan dalam jangka terdekat meningkatkan rangkaian cawangan kepada kira-kira 3,000 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025,” katanya dalam draf itu. 

Ia kini mengendalikan 2,542 di seluruh Malaysia dan 19 pusat pengedaran. 

CIMB Investment Bank Bhd adalah penasihat prinsipal, pengurus bida tunggal, pengurus taja jamin tunggal dan penaja jamin untuk IPO berkenaan. 

Setelah selesai IPO, Lee dijangka memiliki kepentingan langsung sehingga 28.2% dalam kumpulan, dan kepentingan tidak langsung sebanyak 51.5% melalui syarikat persendiriannya Lee LYG Holdings Sdn Bhd, dengan moratorium enam bulan ke atas pegangan saham. - Dagang News