Penglibatan syarikat bumiputera dalam pasaran saham tempatan perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan mereka mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Kita berharap syarikat bumiputera akan mengambil peranan aktif dalam pasaran saham yang bukan hanya bertujuan untuk menambah modal mereka tetapi membuka peluang yang cerah untuk mengembangkan syarikat mereka di luar negara," kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Bursa Malaysia Bhd di sini hari ini.

"Jika kita bawa syarikat-syarikat tempatan yang tidak disenaraikan ke luar negara, mereka akan dianggap oleh pelabur asing di sana sebagai syarikat yang kecil.

"Namun, kalau syarikat tersebut merupakan syarikat yang tersenarai, mereka akan dianggap sebagai syarikat yang cekap, berdaya maju dan telus yang juga merupakan ciri-ciri untuk syarikat tersenarai dalam pasaran saham," jelas beliau.

Beliau berkata umum mengetahui bahawa daripada 914 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, majoriti yang terlibat dalam aktiviti pasaran saham tempatan adalah dalam kalangan syarikat bukan bumiputera.

"Ini berlaku kerana ramai dalam kalangan kaum bumiputera masih kurang faham tentang aktiviti yang berlaku di pasaran Bursa Malaysia," kata beliau.

Justeru itu, kata beliau pendidikan mengenai Bursa Malaysia harus diperluaskan terutamanya di peringkat pengajian tinggi awam dan swasta agar sistem perdagangan dapat difahami dengan bahasa yang lebih mudah.

"Pemilikan ekuiti syarikat bumiputera juga masih berada di sekitar 20 peratus dan ini masih belum mencapai sasaran kerajaan iaitu berjumlah 30 peratus," kata Ahmad.

Oleh, beliau berkata, penglibatan mereka perlu ditambah dan usaha perlu digandakan bagi memastikan sasaran ini mampu dicapai dalam tempoh yang tidak terlalu panjang.

"Tiga puluh peratus itu tidak banyak, namun kalau ia mampu dicapai, itu sudah dianggap kejayaan besar bagi kita," kata beliau.