Anak mangsa harap kematian ibu dan adik dibela

Jenazah Sariya dan Nur Afrina Alisha selamat dikebumikan pada 8.30 malam tadi. - Bernama
SIK: Anak kepada Sariya Che Hin, 51, wanita yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di Pulau Pinang semalam, berharap kematian ibu dan adiknya dapat dibela.
Mohd Noor Hafifi Hassan, 28, berkata dia tidak mahu pengalaman ngeri dialami keluarganya berlaku kepada orang lain pada masa hadapan.
"Saya memang mengharapkan keadilan. Bukan untuk saya sahaja tetapi saya mohon keadilan supaya isu macam ni tak berlaku lagi pada orang lain kelak.
"Saya juga amat berharap agar semua orang ambil apa yang berlaku sebagai iktibar, yang paling penting adalah hubungan kekeluargaan, itu sangat-sangat penting," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarif di Jeneri dekat sini, malam ini.Dalam pada itu, dia turut meminta supaya netizen supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
Semalam, peniaga kuih Sariya dan anak angkatnya Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui maut dipercayai dibunuh dan mayat mereka ditemui suami mangsa kira-kira 7.30 malam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata pihaknya telah menahan reman suami mangsa berusia 57 tahun sehingga 25 Okt ini bagi membantu siasatan.
Menurut Mohd Noor Hafifi yang bekerja sebagai jurutera di pelabuhan di Manjong, Perak, dia sangat terkejut apabila mendapat perkhabaran mengenai kematian ibu dan adiknya sebaik sahaja pulang dari kerja.
"Sebaik sahaja dapat panggilan, saya tak percaya dan saya terus hantar pesanan kepada ibu menerusi aplikasi WhatsApp namun tidak dibalas," katanya.
Sementara itu, jenazah Sariya dan Nur Afrina Alisha selamat dikebumikan pada 8.30 malam tadi.
Jenazah kedua-dua mangsa tiba di pekarangan Masjid Al-Maarif, Jeneri dekat sini kira-kira 7.15 malam tadi sebelum disolatkan dan dikebumikan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami