Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) hari ini menegaskan bahawa pembiayaan kewangan Islam tidak mengandungi sebarang unsur penindasan.

Sehubungan itu ia menafikan sama sekali dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini bahawa pembiayaan perbankan Islam itu boleh menyebabkan pelanggan lebih berisiko untuk muflis.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan baru-baru ini menggesa Bank Negara Malaysia dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji semula sistem perumahan Islam ditawarkan oleh institusi perbankan kepada orang ramai dan dipetik berkata "pinjaman perumahan itu dilihat lebih zalim daripada sistem konvensional kerana peminjam lebih berisiko untuk jatuh muflis".

Dalam satu kenyataan menyangkal serta menjelaskan perkara itu hari ini, AIBIM menyifatkan dakwaan PPIM itu tidak mengambil kira pelbagai insiatif diambil oleh persatuan bagi menyelesaikan permasalahan pelanggan terbabit.

Jelasnya, Bai Bithaman Ajil (BBA) ialah kontrak jual beli yang mana institusi kewangan Islam (IKI) dikehendaki menzahirkan harga jualan dan baki harga jualan yang belum jelas daripada pelanggan.

"Dalam hubungan ini, IKI dikehendaki untuk memberikan ibra' (rebat) kepada pelanggan yang pembiayaannya terlibat dengan projek rumah terbengkalai.

"Setelah ibra' diambil kira, jumlah yang harus dibayar oleh pelanggan pembiayaan Islam akan setara dengan pembiayaan konvensional.

"Ini adalah antara langkah memastikan hak-hak pelanggan perbankan di negara ini dilindungi. AIBIM juga amat prihatin berhubung masalah pelanggan," katanya.

Sehubungan itu, AIBIM berharap semua pihak yang memberi pandangan atau maklumat mengenai perbankan Islam agar lebih bertanggungjawab memastikan kesahihan maklumat supaya tidak menjejaskan usaha pembangunan sistem kewangan Islam secara keseluruhannya.

Malah, katanya, kalangan ahli-ahli AIBIM sudah melaksanakan pelbagai mekanisme penyelesaian bagi meringankan beban kewangan pelanggan sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti penstrukturan semula, penjadualan semula, pembiayaan semula dan diskaun bahkan melupuskan sebahagian atau sepenuhnya pembiayaan bagi kes-kes tertentu.

AIBIM juga menggesa pelanggan berdepan masalah projek perumahan terbengkalai untuk terus menghubungi unit aduan institusi kewangan Islam berkaitan.

"Pelanggan dinasihatkan agar tidak menggunakan khidmat pihak ketiga selaras peruntukan kerahsiaan maklumat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013," tegasnya.

Pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat daripada Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bank Negara Malaysia (BNM).

AIBIM juga boleh dihubungi menerusi talian 03-20268003.