KUALA LUMPUR:Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menyelesaikan penerbitan Nota Kewangan Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP) pertamanya di bawah Program Sukuk Murabahah yang diperkenalkan baru-baru ini.

Menerusi kenyataan hari ini, Air Selangor berkata program IMTN itu terdiri daripada program ICP bagi tempoh 30 tahun dan tujuh tahun dengan nilai nominal had gabungan sehingga RM10 bilion.

Berdasarkan penerbitan Sukuk Murabahah, Air Selangor berjaya meraih RM50 juta menerusi penerbitan ICP dan RM1.1 bilion merangkumi empat tempoh di antara tiga dengan 10 tahun melalui penerbitan IMTN itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata, berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati, syarikat itu berjaya memperoleh permintaan kukuh daripada pasaran dengan nilai perolehan kontrak berjumlah RM1.445 bilion bagi IMTN itu, mewakili purata nisbah lebihan langganan 135 peratus dalam tempoh itu.

"Penerbitan itu menarik minat pelbagai kumpulan pelabur Islam serta pelabur konvensional yang merangkumi syarikat-syarikat pengurusan aset dan institusi kewangan," katanya.

Kejayaan menetapkan harga untuk penerbitan Sukuk Murabahah itu membuktikan peranan penting Air Selangor dalam sektor air, katanya.

"Malah, ia adalah kejayaan penting perjalanan Air Selangor ke arah meningkatkan dan menaik taraf infrastruktur air kita untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami," katanya.

Hasil daripada penerbitan Sukuk Murabahah itu boleh dimanfaatkan antaranya untuk membiayai perbelanjaan modal Air Selangor dan keperluan modal kerja dan membiayai semula mana-mana keberhutangan sedia ada atau keberhutangan patuh Syariah pada masa depan.

Program Sukuk Murabahah itu telah diberikan penilaian jangka panjang dan pendek AAA, masing-masing dengan unjuran stabil dan P1 oleh RAM Rating Services Sdn Bhd.

Melalui Program Sukuk Murabahah itu, Air Selangor mungkin turut menerbitkan Sukuk Kelestarian Air Selangor yang mematuhi Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan Air Selangor untuk membiayai projek pelaburan lestari dan bertanggungjawab seiring dengan strategi kemampanan Air Selangor.

-- BERNAMA