Kuala Lumpur: AirAsia X Bhd. (AAX) bercadang untuk membayar hanya 0.5% kepada setiap pemiutang dan menghentikan semua kontrak sedia ada bagi membolehkannya menstruktur semula liabiliti sebanyak RM33.65 bilion. 

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tambang murah jarak jauh AirAsia Group ini akan mengadakan pertemuan dengan pemiutang pada 12 November ini untuk mengundi bagi cadangan pelan penstrukturan semula hutangnya. 

"Bagi mengelakkan kecairan dan membolehkan syarikat penerbangan terbang semula, satu-satunya pilihan bagi AirAsia X adalah melaksanakan cadangan penstrukturan semula hutang," menurutnya dalam dokumen setebal 127 muka surat yang dilihat Reuters, seperti dilapor The Star hari ini. 

Dokumen itu yang dihantar kepada pemiutang menunjukkan separuh daripada jumlah liabiliti ialah kos membatalkan tempahan pesawat daripada pemiutang terbesarnya, Airbus SE membabitkan 78 pesawat A330neo bersaiz lebar dan 30 pesawat A321neo bersaiz kecil.  

AirAsia X turut mencadangkan sekiranya ia memperoleh lebih daripada RM300 juta bagi pendapatan tahunan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, sewa pajakan dan penstrukturan semula kos untuk tahun kewangan 2023 hingga 2026, semua pemiutang kecuali Airbus berhak memperoleh 20% daripada pendapatan tersebut. 

Ia merupakan salah satu syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik yang memasuki proses penstrukturan hutang bagi membolehkannya bertahan ketika pandemik. Selain itu, ia termasuklah Malaysia Airlines, Virgin Australia, Thai Airways dan Philippine Airlines. 

Menurut dokumen itu, 0.5% hutang itu akan dibayar kepada setiap pemiutang daripada aliran tunai operasi selama setahun selepas langkah penstrukturan hutang itu dilaksanakan.  

AirAsia juga dilaporkan sedang berunding dengan pemajak kepada 29 pesawatnya dan beberapa pemiutang lain mengenai terma komersial bagi meneruskan hubungan perniagaan pada masa hadapan. 

"Ini memberi pilihan kepada pemajak untuk terus menyewa pesawat kepada AirAsia X dengan syarat baharu atau menerima penamatan pajakan dan mengembalikan pesawat yang berkaitan.  

"Dua pemajak telah menyatakan bahawa mereka ingin menghentikan pajakan ini," kata syarikat penerbangan itu dalam dokumen berkenaan. 

Ia menambah bahawa skim itu bertujuan untuk mencapai penstrukturan hutang dan perniagaan yang mampan dan mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan. 

Untuk mendapatkan persetujuan untuk cadangannya, AirAsia X memerlukan persetujuan daripada pemiutang yang memegang sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah nilai hutang di setiap kelas pemiutang. 

Syarikat penerbangan itu merancang untuk mengumpul sebanyak RM500 juta selepas melaksanakan langkah penstrukturan semula hutang menerusi terbitan hak dan langganan saham.