Skip to main content

Bisnes

Fasa perkembangan AI Malaysia seterusnya bergantung pada perancangan tenaga, infrastruktur

Sumber: Schneider Electric
Adrian Koh berkata, perancangan mesti bermula pada peringkat awal pembangunan seperti pemilihan tapak, seni bina elektrik, strategi penyejukan, kecekapan peralatan, pengurusan air, akses kepada tenaga boleh baharu dan pemantauan operasi.

TAIPEI: Fasa perkembangan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) Malaysia seterusnya akan bergantung kepada perancangan berdisiplin merentas tenaga, infrastruktur digital dan kemampanan, menurut Schneider Electric, sebuah syarikat teknologi tenaga global, .

Perbadanan multinasional Perancis itu yang memiliki kepakaran dalam pengurusan tenaga dan automasi industri, menekankan bahawa peningkatan permintaan pusat data memberikan tekanan yang lebih besar pada sistem tenaga serta  pengurusan sumber.

Naib Presiden Perniagaan Syarikat untuk Malaysia (Secure Power), Adrian Koh berkata, perancangan mesti bermula pada peringkat awal pembangunan seperti pemilihan tapak, seni bina elektrik, strategi penyejukan, kecekapan peralatan, pengurusan air, akses kepada tenaga boleh baharu dan pemantauan operasi.

"Ini penting memandangkan impaknya ke atas tenaga dan alam sekitar tidak lagi bersifat teori.

"Pusat data memerlukan bekalan elektrik yang stabil sepanjang masa dan permintaan dijangka melonjak apabila AI serta automasi digital berkembang," katanya kepada Bernama semasa pameran Computex 2026 di sini.

Koh menyerlahkan tiga keutamaan utama untuk Malaysia apabila pelaburan pusat data berkembang iaitu kecekapan, perancangan tenaga dan perancangan infrastruktur digital, bersama-sama dengan jangkaan yang jelas bagi pembangunan pusat data yang bertanggungjawab.

Beliau juga berkata bahawa Pelan Tindakan AI Malaysia 2026-2030 menyediakan asas dasar yang lebih kukuh apabila infrastruktur AI semakin dikaitkan dengan pembuatan termaju, semikonduktor, peralihan tenaga dan perkhidmatan digital, manakala Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) menyokong pertumbuhan AI dengan memudahkan bekalan tenaga yang mencukupi, boleh dipercayai serta lebih mesra alam.

Apabila permintaan daripada pusat data dan industri digital semakin meningkat, Malaysia perlu mengukuhkan daya tahan grid, memperluaskan akses kepada tenaga yang lebih bersih selain memacu kecekapan tenaga merentas kemudahannya.

"Di sinilah pengurusan tenaga, automasi dan kecerdasan digital menjadi kritikal, ianya membolehkan pengendali mengurus permintaan tenaga dengan lebih tepat sambil menyokong masa operasi dan matlamat kemampanan," kata Koh.

Fasa seterusnya pertumbuhan infrastruktur digital Malaysia juga akan bergantung kepada kebolehpercayaan, kelajuan pelaksanaan, daya tahan tenaga, prestasi kemampanan termasuk ketersediaan bakat, dengan pelabur semakin mencari lokasi yang mampu menyampaikan bukan sahaja kapasiti, tetapi kapasiti yang dipercayai dan cekap.

Koh ketika mengulas dari segi dasar turut menekankan kepentingan menjajarkan perancangan permintaan tenaga, akses tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan strategi sambungan grid.

Beliau berkata hala tuju yang lebih jelas mengenai akses tenaga, perolehan boleh diperbaharui, piawaian kecekapan, pengawasan air dan pembangunan bakat akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab infrastruktur digital secara jangka panjang.

Koh mencadangkan supaya pusat data dibangunkan dalam ekosistem tenaga yang komprehensif, dengan mengambil kira keseluruhan rantaian nilai daripada pengagihan tenaga dan bekalan kuasa yang tidak terganggu dengan bergantung kepada penyejukan, automasi, perisian serta pemantauan.

"Semakin rapat penjajaran Malaysia dengan AI, peralihan tenaga dan agenda kemahirannya, semakin mantap kedudukannya sebagai hab infrastruktur digital jangka panjang," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement