KUALA LUMPUR: AirAsia X (AAX) mencatatkan keuntungan bersih RM25.09 juta dan hasil sebanyak RM100.10 juta bagi suku kelima berakhir 30 Sept, 2022 (S5 2022) selaras dengan pemulihan ekonomi pasca pandemik.

Disebabkan oleh perubahan dalam tempoh kewangan yang dilaporkan, tiada sebarang angka yang boleh diperbandingkan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata "AAX kini berada di landasan yang tepat dalam laluan pemulihannya walaupun syarikat penerbangan ini terpaksa beroperasi dalam persekitaran yang mencabar disebabkan harga bahan api yang tinggi dan ringgit Malaysia yang lemah berbanding dolar AS."

"Walaupun kami berhati-hati dengan keadaan operasi yang mencabar, kami tetap yakin bahawa pemulihan syarikat semakin hampir, namun masih belum dalam jangkauan kami.

"Di sebalik keadaan kadar tambang yang lebih tinggi, kami yakin masih dapat menyediakan tambang yang bernilai terbaik dalam kategori kami di pasaran.

"Kami berharap dapat menyambung semula perkhidmatan dengan lebih banyak ke destinasi jarak pertengahan kami dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 18 Ogos, 2022, AAX mengumumkan perubahan akhir tahun kewangannya kepada 31 Dis, 2022.

Pada 2 Dis, 2020, ia telah mengumumkan perubahan pada akhir tahun kewangannya daripada 31 Dis, 2020 kepada 30 Jun. 2021, dan ini menyebabkan tiada maklumat perbandingan kewangan yang tersedia untuk tempoh yang sama bagi tahun kewangan sebelumnya.

Syarikat penerbangan pertengahan gabungan AirAsia Aviation Group itu juga berkata kedudukan tunainya meningkat tiga kali ganda kepada RM79.5 juta.

AAX berkata pemulihan yang merentas semua metrik utama telah bertambah baik dengan ketara memandangkan penerbangan membawa penumpang dan sewa berjadual serta hasil sampingan, telah menunjukkan pemulihan yang kukuh berbanding suku sebelumnya.

Faktor muatan penumpang (PLF) mencatatkan 73 peratus pada suku tersebut, kurang 10 mata peratusan daripada PLF sebelum COVID-19 iaitu sebanyak 81 peratus pada 2019.

Syarikat itu juga menerbangkan sejumlah 80,385 penumpang bagi tempoh tinjauan berbanding 8,892 penumpang dalam tempoh April 2022 hingga Jun 2022.

Kapasiti tempat duduknya meningkat kepada 110,615 pada suku tersebut daripada 27,521 pada suku sebelumnya apabila pasaran dan kekerapan tambahan diperkenalkan pada S5 2022.

Pada masa ini, AAX mengendalikan enam pesawat A330 daripada sembilan pesawat A330 dengan dua pesawat A330 dipulangkan pada suku dalam tinjauan.

Syarikat penerbangan itu menjangkakan untuk menambah armada operasinya kepada 13 pesawat A330 menjelang separuh pertama 2023.

-- BERNAMA