KUALA LUMPUR: Dalam dunia serba canggih hari ini, menyimpan wang adalah satu keperluan. Ada yang menyimpan untuk kecemasan, masa depan anak-anak, hari tua atau sekadar keselamatan kewangan. Namun, dalam kesibukan mengurus simpanan, ada satu perkara penting yang sering terlepas pandang, zakat simpanan.
Hakikatnya, simpanan yang telah cukup haul (setahun) dan mencapai nisab wajib dizakatkan, sama ada dalam bentuk wang tunai, simpanan bank, pelaburan ASB atau instrumen patuh syariah yang lain termasuklah Akaun 3 atau Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Advertisement
Persoalan sama ada Akaun 3 ini perlu dizakatkan terus menjadi antara isu paling kerap dibangkitkan sejak penstrukturan semula akaun ahli diperkenalkan dua tahun lalu.
Akaun Fleksibel membolehkan ahli membuat pengeluaran pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan KWSP. Dari sudut zakat, Akaun 3 ditaksirkan di bawah kategori zakat wang simpanan mengikut syarat dan ketetapan zakat simpanan.
Apabila cukup haul setahun, baki akhir Akaun Fleksibel perlu digabungkan dengan simpanan lain seperti baki akaun bank, pelaburan dan wang tunai. Jika jumlah keseluruhan mencapai nisab, ia wajib dizakatkan.
KWSP ialah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) bagi menyediakan faedah persaraan melalui pengurusan simpanan ahli. Semua rakyat Malaysia yang bekerja diwajibkan mencarum sebahagian pendapatan, dengan caruman pekerja dan majikan dikreditkan ke akaun individu berdasarkan gaji bulanan. Simpanan ini hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai umur tertentu atau melalui skim pengeluaran yang dibenarkan.
Wang KWSP diwajibkan zakat selepas memenuhi syaratnya kerana konsepnya sama seperti zakat simpanan atau mata wang. Jumhur ulama bersepakat bahawa zakat wajib dikenakan ke atas mata wang yang memenuhi syarat. Namun, ia hanya memenuhi syarat “sempurna milik” sejurus pencarum diberi kebenaran untuk membuat pengeluaran. Kewajipan zakat juga bergantung kepada jenis pengeluaran berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 November 2019 memutuskan bahawa pengeluaran yang memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan hajah asliyah termasuk pengeluaran simpanan melebihi RM1 juta, pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun, pengeluaran meninggalkan negara serta pesara (wajib) pilihan dizakatkan pada kadar 2.5 peratus tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Baki simpanan dalam kategori ini yang tidak dikeluarkan selepas setahun pula tertakluk kepada hukum zakat simpanan sekiranya mencapai nisab.
Bagi pengeluaran sebahagian Akaun 2 pada umur 50 tahun, zakat dikenakan ke atas amaun yang dikeluarkan sahaja pada kadar 2.5 peratus tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul.
Jika ahli tidak membuat pengeluaran pada umur tersebut, apabila mencapai umur 51 tahun, zakat wajib dikenakan ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan kerana telah memenuhi syarat milk al-taam. Pengeluaran untuk tujuan hajah asliyah seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan hilang upaya kekal pula tidak dikenakan zakat.
Nisab zakat KWSP adalah sama seperti nisab zakat wang lain iaitu bersamaan 85 gram emas, dengan kadar 2.5 peratus daripada jumlah simpanan yang dibenarkan untuk pengeluaran dan memenuhi syarat milik sempurna.
Bagi umat Islam di Wilayah Persekutuan, urusan menunaikan zakat simpanan dipermudahkan melalui Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Dengan kemudahan pengiraan zakat yang tepat serta pelbagai saluran pembayaran yang mudah diakses seperti portal www.zakat.com.my, menunaikan zakat kini boleh dilakukan tanpa tekanan dan kekeliruan. Pada masa yang sama, pembayar zakat turut menikmati manfaat rebat cukai pendapatan, menjadikan zakat satu amalan yang memberi kesan positif dari sudut duniawi dan ukhrawi.