KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu melaksanakan pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) seperti yang diperincikan dalam kerangka RESET Kementerian Kesihatan (KKM) dengan berhati-hati.
Profesor Ekonomi dan Polisi Kesihatan IMU University, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid menegaskan, insurans kesihatan merupakan antara penyumbang kepada inflasi perubatan dalam negara.
“Kita harus ingat bahawa salah satu sumber inflasi perubatan ialah insurans kesihatan itu sendiri. Jika kita tidak berhati-hati. Kita bermain dengan satu entiti yang boleh makan kita sendiri jika kita tidak jaga betul-betul.
“Contohnya, AS yang menggunakan sistem insurans kesihatan swasta sebagai sumber kewangan yang penting, menjadi sebuah negara yang tertinggi dari segi penggunaan sumber kesihatan sehingga 18 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Dalam pada itu, Syed Mohamed Aljunid menjelaskan, permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan perubatan dan peningkatan harga ubatan turut menyumbangkan kepada inflasi perubatan ketika ini.
Sementara itu, Konsultan Industri Ansuransi, yang juga bekas Ketua Eksekutif Munich RE, Dr. Mohd Rafick Khan menjelaskan, peningkatan kos rawatan terhadap pengguna disumbangkan oleh faktor perniagaan berasaskan keuntungan.
“Salah satu aspek yang orang tidak lihat ialah kenaikan harga (perubatan) ini didorong oleh pemegang saham majoriti yang menjangkakan dividen (daripada syarikat penyedia perkhidmatan perubatan). Kalau hendak bayar dividen lebih tinggi, maka kita (penyedia perkhidmatan) naikkan harga,” jelasnya.
KKM memperkenalkan kerangka RESET iaitu pendekatan seluruh negara untuk memajukan pembaharuan bagi menangani punca sebenar inflasi perubatan.
Menurut kementerian itu, usaha ini menggembleng peserta dan pihak berkepentingan utama, merangkumi KKM, Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO), hospital dan klinik swasta, doktor, kumpulan pengguna dan pihak berkepentingan lain untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang berpandukan lima teras strategik.
Lima teras strategik tersebut adalah menyusun semula MHIT, meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh sistem kesihatan digital, meluaskan pilihan yang menjimatkan kos dan menambah baik mekanisme pembayaran penyedia.