KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service menjangka terbitan sukuk global akan terus merosot pada tahun ini berikutan jumlah yang rendah daripada penerbit sukuk utama, kebanyakannya mencerminkan kedudukan fiskal yang lebih baik di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia Tenggara.

Jumlah terbitan sukuk kasar jangka pendek dan jangka panjang dijangka sebanyak AS$150-AS$160 bilion (AS$1=RM4.65) pada 2023, susut daripada AS$178 bilion pada 2022, menurut agensi penarafan itu.

"Aktiviti terbitan sebanyak AS$66 bilion pada separuh pertama 2023, merosot daripada AS$92 bilion pada tahun lepas, berikutan aktiviti terbitan yang lebih rendah daripada jangkaan di GCC dan Asia Tenggara lebih daripada mengimbangi peningkatan semula yang kukuh oleh penerbit korporat dan institusi kewangan.

"Kami menjangka terbitan sebanyak AS$80-AS$90 bilion pada separuh kedua 2023, disokong oleh pemulihan separa di Asia Tenggara dan Turkiye, selain mengekalkan jumlah yang kukuh daripada korporat dan institusi kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Moody's, jumlah terbitan sukuk merosot 28 peratus kepada AS$66 bilion pada separuh pertama 2023, mencerminkan aktiviti yang rendah di Arab Saudi, Indonesia dan Turkiye.

Justeru, agensi penarafan itu menjangka terbitan sukuk global akan susut untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2023 selepas mencapai paras tertinggi sebanyak AS$205 bilion pada 2020.

Dalam negara, ia mengunjurkan Malaysia terus mendominasi terbitan sukuk global, dengan terbitan kebanyakannya dalam mata wang tempatan.

Katanya peserta sektor swasta dijangka akan terus beralih kepada pasaran sukuk untuk pembiayaan dan pelaburan.

"Kerajaan Malaysia, yang kekal sebagai penyokong kewangan Islam dan terus menyokong pembangunan pasaran sukuk domestik, pada 2022 telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk menggalakkan pertumbuhan seterusnya dalam industri.

"Defisit fiskal Malaysia yang luas, walaupun merosot, yang kami menjangka sekitar lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023-2024, akan turut membawa jumlah terbitan tambahan menjelang akhir tahun," katanya.

Mengenai prospek pertumbuhan jangka panjang, Moody's menjangka pasaran sukuk akan terus mencatatkan potensi pertumbuhan yang ketara dalam tempoh beberapa tahun akan datang, disokong oleh penyertaan penerbit baharu yang akan memenuhi permintaan meningkat untuk instrumen sukuk.

"Malah, populariti yang meningkat untuk produk Islam melangkaui pasaran Islam teras, permintaan yang meningkat untuk sukuk hijau dan mampan serta kepelbagaian instrumen Islam akan memperluas kumpulan pelabur yang berpotensi," katanya.

-- BERNAMA