PANDEMIK COVID-19 memberi impak besar terhadap ekonomi dan masyarakat, namun ia juga membawa sinar untuk pertumbuhan rancak digitalisasi dan e-dagang yang menjadi semakin pantas.

Selaku syarikat gergasi e-dagang, Alibaba turut menyaksikan peningkatan signifikan terhadap transaksi rentas sempadan menerusi platform kendalianya, Tmall Global.

Festival 11.11 contohnya menyaksikan penyertaan lebih 290,000 jenama yang menawarkan 14 juta barangan kepada pengguna,satu rekod tertinggi dalam sejarah 13 tahun festival itu.

Ketua Pegawai Pemasaran Alibaba Group, Chris Tung berkata, pada tahun ini Festival 11.11 memfokuskan kepada nilai inklusiviti masyarakat dan menggalakkan usaha kearah kelestarian alam sekitar.

“Buat pertama kalinya kami mendedikasikan vertikal yang mempamerkan kecekapan tenaga dan kesan produk yang rendah selain menyediakan baucar kelestarian bernilai RMB100 juta sebagai menggalakkan pembelian ke arah mesra alam sekitar.

“Kami turut bekerjasama dengan rakan jenama untuk menggalakkan pembelian mesra alam termasuk membangunkan produk dengan penghasilan karbon rendah serta mencipta pembungkusan kitar semula tanpa plastik.

“Sebagai tambahan, bahagian logistik kami, Cainiao Network turut membangunkan lebih 60,000 stesen pengambilan pembungkusan dan kitar semula di seluruh China serta mewujudkan 10,000 stesen penghantaran di mana pengguna boleh mengguna semula pembungkusan barang,” jelasnya.

China merekodkan pertumbuhan barangan import ke dalam negara itu bagi tahun ke tahun sebanyak 25 peratus kepada RMB6.7 trilion dari Januari hingga Mei 2021.

Dalam pada itu, Ketua Pemasaran bagi Festival Alibaba 11.11 pada tahun ini, Liqing Zhen berkata, Alibaba memberi fokus dalam menyediakan pengalaman pengguna terbaik bagi menyambut Alibaba Festival Beli-belah Global 11.11.

Tambah beliau, syarikat tersebut turut merangka tiga strategi penting termasuk memulakan pesanan pra jualan empat jam lebih awal berbanding festival 11.11 sebelum ini.

Malah, festival pada kali ini menawarkan lebih rebat rentas rangkaian bagi membolehkan pengguna menikmati potongan lebih banyak ketika membuat pembelian pukal daripada rangkaian pelbagai.

Selain daripada itu, masa pra jualan pada tahun ini dimulakan empat jam lebih awal iaitu pada pukul 8 malam berbanding waktu tradisi sebelum ini iaitu menjelang tengah malam.

Justeru, pengguna tidak perlu berjaga sehingga lewat malam untuk membeli-belah.

“Strategi ketiga adalah perkongsian sosial. Kami mendapati pengguna ingin berkongsi pembelian 11.11 mereka serta berkongsi tawaran-tawaran terbaik dengan pengguna lain.

"Justeru, untuk tahun ini kami memperkenalkan senarai mesti beli 11.11 dan membolehkan pengguna berkongsi kart beli-belah mereka dengan rangkaian sosial.

“Ia membolehkan pempengaruh (influencer) Tmall dan Taobao serta pengguna biasa berkongsi pembelian mereka antara satu sama lain.

"Tmall mempunyai lebih 900 juta pengguna aktif tahunan dan memenuhi pelbagai dimensi terhadap keperluan pengguna dengan rangkaian produk serta perkhidmatan tanpa had,” ujarnya dalam sidang akhbar sama.

Pengarah Urusan Tmall Global, Anita Lv berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai usaha dalam mengadaptasi infrastruktur digital rentas sempadan bagi mendepani cabaran isu rantaian bekalan.

Beliau berkata, ramai pengguna di China kini membuat pembelian produk luar negara, malah Alibaba juga melihat rekod permintaan yang tinggi terhadap produk berkualiti bagi jenama antarabangsa.

‘Kami akan sentiasa meningkatkan keupayaan syarikat dalam menampung permintaan pengguna. Jika terdapat jenama ingin membuat kempen pemasaran atau melancarkan produk baharu atau ingin membuka cawangan baharu, Tmall Global boleh menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan.

“Tmall Global mempunyai keupayaan yang terbaik. Kami memiliki gudang terikat berkeluasan 20,000 meter persegi di China.

"Keseluruhan pengurusan bekalan dan rantaian logistic daripada rentas sempadan ke logistik domestik China adalah sangat matang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi Festival Beli-belah Global Alibaba 11.11 2021 baru-baru ini.

Tmall Global turut membangunkan sendiri key opinion consumer (KOC) syarikat bagi membantu pengguna China mengetahui maklumat berkaitan produk baharu daripada luar negara menerusi video kandungan berdurasi pendek dalam ruangan New Discovery.