AS tidak akan mentadbir Venezuela, tetapi akan beri tekanan perubahan melalui sekatan minyak

Kenyataan Rubio dilihat cuba meredakan kebimbangan bahawa tindakan agresif untuk mencapai pertukaran rejim di Venezuela akan membawa AS ke arah campur tangan asing berpanjangan atau percubaan membina semula negara yang gagal. - Gambar fail Bernama
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio pada Ahad menegaskan AS tidak akan mentadbir Venezuela secara harian, sebaliknya, akan terus menguatkuasakan “kuarantin minyak” yang sedia ada ke atas negara itu, selepas sehari sebelumnya Presiden Donald Trump mengumumkan AS akan “mengurus” Venezuela susulan penggulingan Nicolás Maduro.
Kenyataan Rubio dalam program bual bicara televisyen dilihat cuba meredakan kebimbangan bahawa tindakan agresif untuk mencapai pertukaran rejim di Venezuela akan membawa AS ke arah campur tangan asing berpanjangan atau percubaan membina semula negara yang gagal.
Ini berbeza dengan kenyataan Trump yang lebih umum dan kabur bahawa AS akan “mentadbir” negara pengeluar minyak itu buat sementara waktu.
Rubio menjelaskan, AS akan terus menguatkuasakan kuarantin minyak yang dikenakan ke atas kapal tangki yang disekat sebelum Maduro digulingkan awal Sabtu dan menggunakan langkah itu sebagai tekanan untuk perubahan dasar di Venezuela.
“Itulah maksud kawalan yang dimaksudkan Presiden,” kata Rubio kepada CBS Face the Nation.
“Kami teruskan kuarantin itu dan kami mahu lihat perubahan bukan sahaja dalam cara industri minyak diurus untuk rakyat, tetapi juga supaya mereka hentikan pengedaran dadah.”
Beliau menambah, sekatan ke atas kapal tangki minyak yang disenarai hitam — sebahagiannya telah dirampas AS — “kekal berkuat kuasa, dan itu adalah pengaruh besar yang akan digunakan sehingga kami lihat perubahan yang bukan sahaja mengutamakan kepentingan nasional AS, tetapi juga membawa masa depan lebih baik untuk rakyat Venezuela.”
Pemimpin Venezuela setakat ini menolak tekanan tersebut secara terbuka, sambil mendesak pentadbiran Trump membebaskan Maduro.
Sebelum operasi menahan Maduro, pakar undang-undang antarabangsa sudah mempersoalkan kesahihan sebahagian tindakan pentadbiran AS terhadap Venezuela termasuk pengeboman bot yang didakwa terlibat dalam pengedaran dadah - yang menurut sesetengah sarjana melampaui batas undang-undang antarabangsa. - Agensi


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

