BUSINESS
AmBank Group catat untung bersih RM2 bilion bagi tahun kewangan 2025

AmBank Group mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 7.1% kepada RM2.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, disokong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan bukan faedah.
KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mencatatkan peningkatan 7.1 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM2.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2025 (TK2025), berbanding RM1.87 bilion pada tahun sebelumnya.
Ringkasan AI
- AmBank Group mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 7.1% kepada RM2.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, disokong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan bukan faedah.
- Pendapatan faedah bersih meningkat 8.0% kepada RM3.56 bilion, manakala pendapatan bukan faedah naik 1.3% kepada RM1.35 bilion; perbelanjaan keseluruhan turut meningkat 7.1% kepada RM2.19 bilion.
- Dividen keseluruhan bagi tahun kewangan 2025 ialah 30.2 sen sesaham, meningkat 34% tahun ke tahun, dengan nisbah bayaran dividen 50%; kumpulan menjangkakan potensi pemotongan kadar dasar oleh BNM sebanyak 25 mata asas pada separuh kedua tahun kewangan.
"Pendapatan bukan faedah meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.35 bilion yang disebabkan oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi daripada perbankan perniagaan, pengurusan kekayaan runcit, dana, pembrokeran saham, perbankan swasta dan pasaran modal ekuiti, serta prestasi kukuh daripada perniagaan insurans, sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan dagangan yang lebih rendah daripada perbendaharaan dan pasaran kumpulan," katanya.
Kumpulan itu berkata bahawa jumlah perbelanjaan keseluruhan meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.19 bilion, terutamanya disebabkan oleh kos kakitangan dan pengkomputeran yang lebih tinggi. Nisbah kos kepada pendapatan berada pada paras 44.6 peratus.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac, 2025 (S4 2025), keuntungan bersih AmBank Group meningkat kepada RM513.93 juta berbanding RM476.54 juta pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM1.17 bilion sebelum ini.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 19.9 sen sesaham bagi suku keempat 2025.
Bersama dengan dividen interim sebanyak 10.3 sen sesaham yang telah diisytiharkan pada suku kedua 2025 (S2 2025), jumlah keseluruhan dividen bagi tahun kewangan 2025 (TK2025) adalah sebanyak 30.2 sen sesaham, meningkat 34 peratus tahun ke tahun, dengan nisbah bayaran dividen sebanyak 50 peratus.
AmBank Group berkata pinjaman tertunggak dalam industri meningkat secara purata sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025 (S1 2025), dengan pinjaman isi rumah berkembang secara purata sebanyak 6.0 peratus, manakala pinjaman bukan isi rumah meningkat sebanyak 4.5 peratus.
Ia berkata sistem perbankan kekal berdaya modal tinggi dengan mudah tunai yang mencukupi, seperti yang ditunjukkan oleh nisbah liputan mudah tunai sebanyak 151.6 peratus pada Mac.
Kumpulan itu menambah nisbah pinjaman kepada dana dan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kekal stabil masing-masing pada paras 83.8 peratus dan 72.9 peratus setakat bulan berkenaan.
"Memandangkan peningkatan risiko yang berpunca daripada perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS), kami cenderung terhadap pemotongan kadar sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus pada separuh kedua tahun kewangan 2025, mungkin awal daripada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang seterusnya pada 9 Julai, 2025.
"Ini bertepatan dengan tamatnya tempoh penangguhan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik AS. Bagaimanapun, sebarang pemotongan kadar yang dilakukan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai permulaan kitaran pelonggaran yang agresif," katanya.
Kumpulan perbankan itu berpendapat bahawa Bank Negara Malaysia akan sentiasa mengekalkan pendekatan yang berhati-hati terhadap pelonggaran dasar monetari bagi mengekalkan kestabilan mata wang dan pasaran kewangan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami