Skip to main content

Dunia

Respons Presiden Xi Jinping mengenai pembebasan Jimmy Lai "tidak positif" - Trump

Media tycoon Jimmy Lai leaves the Court of Final Appeal in Hong Kong, on February 1, 2021. Tyrone Siu/Reuters
Jimmy Lai meninggalkan Mahkamah Rayuan di Hong Kong, pada 1 Februari 2021. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendedahkan bahawa respons Presiden China, Xi Jinping terhadap permintaannya untuk membebaskan tokoh media Hong Kong, Jimmy Lai daripada penjara adalah “tidak positif.”

Trump berkata, beliau telah berbincang “secara panjang lebar” dengan Jinping mengenai pembebasan Lai serta Pastor Ezra Jin Mingri ketika temu bual bersama Fox News.

Menurut beliau, isu pembebasan kedua-dua individu itu masih dalam pertimbangan, namun tidak menunjukkan perkembangan memberangsangkan, khususnya melibatkan Lai.

“Pembebasan itu sedang dipertimbangkan, tetapi respons terhadap usaha membebaskan Lai tidak begitu positif,” katanya.

Jimmy Lai, 78, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun awal tahun ini selepas disabitkan kesalahan di bawah undang-undang keselamatan negara serta hasutan di Hong Kong.

Perbicaraan tersebut mendapat perhatian luas pemimpin Barat, termasuk Trump yang sebelum ini berikrar untuk membantu membebaskan Lai.

“Saya katakan, saya amat menghargai jika beliau dapat dibebaskan. Usianya sudah lanjut dan mungkin keadaannya tidak begitu sihat. Ia satu langkah yang baik,” kata Trump, sambil mengakui beliau tidak terlalu optimistik terhadap kemungkinan pembebasan itu.

Trump berkata, beliau membangkitkan isu Lai sekurang-kurangnya dua kali dalam pertemuan bersama Xi.

Bagaimanapun, beliau menyatakan lebih yakin terhadap kemungkinan pembebasan Pastor Ezra Jin Mingri, yang antara individu yang ditahan dalam tindakan keras besar-besaran terhadap komuniti agama di beberapa bandar di China.

“Bagi kes seorang lagi, saya rasa ia mungkin mendapat pertimbangan yang lebih serius,” katanya.

Untuk rekod, Lai disabitkan pada Disember 2025 atas tuduhan keselamatan negara dan hasutan serta dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.

Usahawan yang membina empayar media itu merupakan antara pengkritik kerajaan paling berprofil tinggi yang didakwa selepas Beijing melaksanakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh di Hong Kong pada 2020.

Dalam masa sama, kerajaan China dan Hong Kong berulang kali menolak kritikan antarabangsa terhadap pendakwaan Lai, selain menafikan dakwaan bahawa pemenjaraannya bermotifkan politik atau mencabuli kebebasan media.

Must Watch Video