KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran pendapatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi FY23-FY24 sebanyak  7% dan 17% selepas menurunkan andaian trafik penumpang selain mengubah margin keuntungan. 

Firma itu bagaimanapun berkata, keuntungan bersih FY25 dikekalkan dengan menjangkakan peningkatan yang mampan dalam trafik penumpang MAHB berikutan pemulihan perjalanan udara global dalam jangka panjang. 

"Disebabkan permintaan perjalanan udara yang lebih perlahan daripada jangkaan, terutamanya dari China dengan prospek ekonomi global yang lebih lemah, kami menjangkakan pergerakan penumpang akan mencapai tahap pra-pandemik hanya pada FY25 bukannya seperti unjuran awal kami pada FY24. 

"Walaupun trajektori yang lebih perlahan, kami menjangkakan kumpulan itu kembali kepada keuntungan pada FY23 disokong oleh pergerakan penumpang yang lebih tinggi dan struktur kos yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian. 

Firma itu mengunjurkan trafik Malaysia disemak kepada 78.9 juta penumpang (79% daripada tahap 2019) daripada 82.1 juta sebelumnya untuk FY23 dan 100 juta untuk FY24 (95% daripada tahap 2019) daripada 107.4 juta sebelumnya. 

Sementara itu, firma itu menganggarkan bahawa kumpulan itu akan mencapai pemulihan penumpang sebanyak 79% berbanding tahap 2019 untuk FY23, 96% untuk FY24 dan 101% untuk FY25. 

Firma itu berkata, kumpulan itu merekodkan peningkatan trafik penumpang pada suku pertama 2023, meningkat 81% kepada 26.8 juta penumpang (termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen), yang juga mewakili pemulihan 80% yang mengagumkan berbanding suku pertaa 2019. 

"Lapangan terbang MAHB di Malaysia juga mencapai pergerakan penumpang antarabangsa bulanan sebanyak 2.9 juta pada Mac 2023 yang merupakan jumlah bulanan tertinggi sejak Mac 2020, mencapai 66% daripada paras 2019. 

"Pelan pembesaran Lapangan Terbang Subang semakin berkembang kerana kumpulan itu baru-baru ini telah menyerahkan pelan perniagaan terperinci untuk pembangunan semula kepada Kementerian Pengangkutan. 

"Ini membuka laluan untuk penjadualan berikutnya bagi kertas Kabinet untuk kelulusan selanjutnya pada penghujung suku kedua 2023," katanya. Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM7.81 sesaham. - DagangNews.com