BUSINESS
AMRO semak turun pertumbuhan ASEAN+3 pada 3.8 peratus tahun ini berikutan tarif AS

Hoe berkata, ASEAN+3 akan kekal berdaya tahan, sebahagiannya kerana pasaran eksport ke AS telah menurun dengan ketara sejak beberapa tahun lalu. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ekonomi ASEAN+3, merangkumi 10 negara anggota ASEAN termasuk China, Jepun, dan Korea Selatan, dijangka berkembang 3.8 peratus pada 2025.
Hal ini disebabkan semakan menurun daripada unjuran sebelumnya iaitu pada 4.2 peratus berikutan dasar tarif yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) Dr Hoe Ee Khor berkata tinjauan itu semakin memburuk pada 2026, dengan pertumbuhan dijangka perlahan kepada 3.2 peratus sekiranya cabaran berkaitan tarif masih berterusan.
"Ia menjadi semakin teruk secara kumulatif dan dialami oleh semua negara di rantau ini. Beberapa negara lebih teruk terjejas berbanding yang lain. Vietnam sebagai contoh, akan kehilangan kira-kira satu mata peratusan. Kami sebelum ini menjangkakan pertumbuhan 6.5 peratus, sekarang ini kami menjangkakan 5.5 peratus."Kemboja juga terkesan agak teruk, tetapi kebanyakan negara, walaupun dengan tarif yang sangat tinggi, akan terkesan. Kami menjangkakan sekitar 0.2 hingga 0.3 mata peratusan, bergantung kepada sejauh mana pendedahan terhadap tarif itu," katanya pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bersempena dengan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM) serta mesyuarat berkaitan di sini.
Hoe berkata bagaimanapun, ASEAN+3 akan kekal berdaya tahan, sebahagiannya kerana pasaran eksport ke AS - kedua-duanya sebagai sebahagian daripada jumlah eksport dan relatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - telah menurun dengan ketara sejak beberapa tahun lalu.
"Dulu kita mengeksport kira-kira 25 peratus ke AS, sekarang kita mengeksport kira-kira 12 peratus. Begitu juga sebagai sebahagian daripada KDNK, ia hanya kurang daripada 2.0 peratus daripada jumlah eksport ke AS. Oleh kerana itu, kesan tarif ke atas ekonomi dan eksport adalah agak terhad," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia Datuk Siobhan Das berkata perdagangan Malaysia dengan AS sebanyak 11 peratus daripada keseluruhan dagangannya yang berjumlah US$40 bilion.
"Kami telah melihat sedikit rintangan, walaupun jumlah keseluruhannya menurun sedikit, tetapi ia masih kukuh. Terdapat pertalian yang rapat antara eksport Malaysia ke AS, yang merupakan sesuatu yang saya rasa kita perlu peka tentangnya.
Beliau turut menekankan peranan Malaysia semasa menjawat Kepengerusian ASEAN untuk menonjolkan bagaimana Malaysia dan ASEAN boleh bekerjasama menyatukan kekuatan dan membina rangka kerja serantau yang meningkatkan kebolehoperasian dan bersepadu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami