Anak syarikat HSS Engineers Bhd (HEB), HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI), telah menerima surat anugerah dengan anggaran nilai sehingga RM82.5 juta bagi menyediakan khidmat runding cara dalam mengawal selia projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

HEB dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata HSSI telah dilantik oleh China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan tersebut membabitkan kerja-kerja infrastruktur dari KM0 sehingga KM231.5 Pakej 1 ECRL.

Kontrak itu akan bermula pada suku pertama 2018, sebaik sahaja ECRL memasuki peringkat pembinaan. Ia dijangka selesai pada suku kedua 2024.

Sepanjang tahun ini, HSSI telah mendapat kontrak sebagai perunding reka bentuk bagi skim penyelesaian reka bentuk Fasa 1 dan 2 ECRL, serta perkhidmatan konsultasi reka bentuk awal merangkumi kerja-kerja infrastruktur untuk KM0 sehingga KM220 ECRL.

Pengarah Eksekutif HEB, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata dengan kontrak berkenaan, kumpulan telah memperolehi hampir RM176 juta dalam nilai keseluruhan kontrak bagi 2017, melebihi sasaran sebanyak RM150 juta yang dijangka oleh komuniti pelabur.

"Kami berhasrat untuk membawa momentum yang telah kami bina pada tahun ini ke hadapan, memasuki tahun baru," katanya.

HEB naik dua sen untuk ditutup pada RM1.43 dalam dagangan di Bursa Malaysia hari ini, dengan 1.61 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA