BISNES
Anggaran KDNK suku kedua pada 4.5 peratus, atasi unjuran, pamer daya tahan ekonomi

Mohd Afzanizam berkata, sektor perkhidmatan, yang menyumbang 60 peratus daripada ekonomi, meningkat kepada 5.3 peratus daripada 5.0 peratus pada suku sebelumnya, manakala keluaran pertanian naik 2.0 peratus daripada 0.6 peratus. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Anggaran awal pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus bagi suku kedua 2025 mengatasi kebanyakan unjuran penganalisis yang sekali gus menunjukkan daya tahan ekonomi negara.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, anggaran pertumbuhan KDNK itu lebih tinggi daripada konsensus 4.2 peratus.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan, yang menyumbang 60 peratus daripada ekonomi, meningkat kepada 5.3 peratus daripada 5.0 peratus pada suku sebelumnya, manakala keluaran pertanian naik 2.0 peratus daripada 0.6 peratus.
"Secara keseluruhannya, kami percaya ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar yang sihat pada suku April-Jun. Bagaimanapun, keadaan mungkin berbeza pada separuh kedua tahun ini, memandangkan kejutan tarif Amerika Syarikat (AS), yang berkemungkinan menjejaskan eksport kita ke negara itu."Susulan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan kadar dasar semalamannya (OPR) sebanyak 25 mata asas pada minggu lepas," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata, perbelanjaan pelaburan yang berterusan dan dasar fiskal yang mengembang akan memastikan permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan keseluruhan, terutamanya pada separuh kedua tahun ini.
Sementara itu, profesor madya ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Irwan Ariffin berpandangan, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan pada Suku Kedua 2025, mengatasi rakan serantau seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Beliau berkata, pertumbuhan itu didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan keluaran pembuatan yang stabil.
Bagaimanapun, Muhammad Irwan memberi amaran prestasi eksport yang lemah di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global dan tarif AS ke atas barangan Malaysia boleh mencetuskan risiko pada masa hadapan.
"Apabila kita membandingkan dengan rakan serantau seperti Vietnam dan Indonesia, yang mengalami pertumbuhan lebih kukuh didorong oleh pembuatan dan eksport, pergantungan kita pada penggunaan domestik menjadikan kita kurang terdedah kepada kejutan luaran.
"Pergantungan kita terhadap penggunaan domestik adalah faktor kukuh yang boleh menstabilkan dan mengekalkan trajektori pertumbuhan kita sehingga akhir tahun," katanya.
Bagaimanapun, untuk mengekalkan daya saing negara dan keyakinan pelabur, Malaysia perlu memberi tumpuan secara proaktif pada rundingan dan dasar perdagangan strategik, kata Muhammad Irwan.
"Ini adalah untuk menyokong sektor pembuatan dan mengurangkan kesan ketegangan dan gangguan perdagangan global," katanya.
Senada dengan Muhammad Irwan, ahli ekonomi daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Barjoyai Bardai berkata, Malaysia lebih ke hadapan berbanding negara jiran dari segi sektor perkhidmatan dan pembinaan.
Ketika ditanya sama ada Malaysia mampu mencapai atau melepasi sasaran pertumbuhan 4.5 peratus tahun ini, beliau berkata, ia bergantung kepada prestasi ekonomi negara pada suku ketiga dan keempat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami