Stesen gergasi penyiaran berbayar, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dinobat jenama terbaik bagi kategori media dan hiburan menerusi Anugerah Putra Brand 2016 buat kali ketujuh berturut-turut.

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, kemenangan itu menjadi platform bagi Astro untuk memberikan lebih kepuasan kepada pelanggannya.

Selain itu, Astro turut memenangi kategori Pemasaran pada majlis berkenaan.

"Kita komited inovasi, dan terus perkenalkan kandungan baharu untuk pelanggan dengan menawarkan lebih banyak kandungan, juga teknologi untuk menonton yang lebih baik dengan 'On Demand' dan 'On The Go'.

"Kita pastikan kandungan sentiasa berinovasi. Kita juga sentiasa mempromosi kandungan tempatan seperti filem Polis Evo, Ola Bola dan The Journey dan kami sangat gembira kerana mendapat sokongan ramai rakyat tempatan.

"Pendekatan yang kita buat dalam pemasaran bukan biasa. Kita juga tidak menggunakan pemasaran biasa namun sentiasa mengutamakan agenda elemen sosial," katanya selepas Majlis Anugerah Putra Perdana 2016 di sini hari ini.

Mula diperkenalkan pada tahun 2010, Astro membawa pulang Putra Brand Awards bagi kategori media dan hiburan terbaik pada setiap tahun.

Anugerah Putra Brand 2016 merupakan anugerah jenama terkemuka di Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dengan kerjasama jenama-jenama premier di Malaysia.

Para pemenang anugerah Emas, Perak dan Gangsa ditentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh 6,000 pengguna Malaysia.