Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc tampil sebagai pengeluar telefon pintar yang paling banyak mengaut keuntungan di dunia pada suku tahun ketiga 2017 manakala Samsung Electronics Co pula berjaya mengatasi kerugian akibat penggantungan pengeluaran Galaxy Note 7, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik laporan pemerhati industri pada Khamis.

Counterpoint, dalam laporannya antara lain menyebu, Apple telah menyumbang sebanyak 59.8 peratus daripada keuntungan gabungan yang dihasilkan oleh industri telefon pintar global sepanjang tempoh itu diikuti Samsung Electronics dengan 25.9 peratus.

Angka terbaharu itu adalah berbanding tempoh Julai-September 2016, yang menyaksikan Apple menyumbang sebanyak 85.9 peratus manakala Samsung tidak menyumbang apa-apa berikutan insiden malang yang menimpa Galaxy Note 7, sebuah gajet gah namun gagal bertahan lama akibat masalah bateri.

"Pembekal Korea, meskipun berdepan permintaan lebih tinggi untuk Note 8 dan peranti Samsung Galaxy Siri J dengan spesifikasi tinggi, telah berjaya menguasai hampir satu perempat keuntungan industri telefon bimbit global," kata Pengarah Penyelidikan Counterpoint, Neil Shah, dalam laporan itu.

Counterpoint berkata Apple mengaut keuntungan sebanyak AS$151 bagi setiap telefon pintar yang terjual sepanjang suku tahun ketiga, mengatasi keuntungan yang diraih Samsung sebanyak AS$31.

Perolehan beberapa syarikat China bagi setiap telefon pintar yang terjual pula dianggarkan antara AS$13 dan AS$15, kata pemerhati industri itu.

Bagaimanapun, penyelidik itu berkata pengeluar telefon pintar China terus memperluas kehadiran mereka dalam pasaran.

"Biasanya semua keuntungan dikongsi oleh hanya dua jenama iaitu Samsung dan Apple, bagaimanapun, jenama China ternyata berjaya menempatkan dirinya di sini," kata Pengarah Bersekutu Counterpoint, Tarun Pathak.