Skip to main content

Bisnes

Aquawalk bangunkan oseanarium bernilai RM70.5 juta di Sabah

simon foong
Foong berkata projek Aquaria KK di Kota Kinabalu merupakan satu pencapaian penting dalam rancangan pertumbuhan serantaunya. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Aquawalk Group Bhd (Aquawalk) bakal membangunkan projek Aquaria KK di Kota Kinabalu, Sabah yang dianggarkan bernilai RM70.5 juta dan disasarkan siap menjelang 2029. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata oseanarium yang bakal dimiliki sepenuhnya oleh Aquawalk, akan dibiayai menerusi gabungan pendapatan daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM39.6 juta, dana yang dijana secara dalaman, dan jika bersesuaian, melalui pinjaman bank. 

Advertisement

“Aquawalk KK Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan Jesselton Docklands 1 Sdn Bhd bagi premis seluas kira-kira 73,054 kaki persegi di dalam Bedrock di Jesselton Docklands, Kota Kinabalu, Sabah.

“Ini akan menjadi usaha niaga pertama kumpulan itu di Sabah, sekali gus mengembangkan lagi portfolionya, yang merangkumi Aquaria KLCC, Aquaria Phuket dan 40 peratus kepentingan ekuiti dalam Jakarta Aquarium and Safari,” katanya. 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aquawalk Datuk Simon Foong berkata projek itu merupakan satu pencapaian penting dalam rancangan pertumbuhan serantaunya. 

“Pengembangan kami ke Sabah mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam industri tarikan marin dan membolehkan kami mengembangkan jenama kami ke pasaran pelancongan yang berkembang pesat. 

“Dengan lokasinya yang terletak di tepi laut, Bedrock di Jesselton Docklands menawarkan platform yang menarik bagi Aquaria KK untuk menjadi mercu tanda pelancongan utama di Sabah,” katanya. 

Sementara itu, Aquawalk berkata oseanarium itu akan dimiliki sepenuhnya oleh kumpulan itu, bukannnya usaha sama 60:40 seperti yang dirancang sebelum ini, bagi melancarkan pelaksanaan dan mengekalkan kawalan penuh ke atas operasi. 

Dengan keluasan binaan yang setanding dengan Aquaria KLCC, kemudahan baharu itu dijangka menarik kira-kira 360,000 pengunjung setiap tahun, berikutan peningkatan ketibaan pelancong ke Sabah. 

Foong berkata projek itu dijangka meningkatkan asas pendapatan berulang kumpulan dan mengukuhkan keterlihatan pendapatan jangka panjang.  

“Dengan rekod prestasi kami yang terbukti dalam membangun dan mengendalikan tarikan marin bertaraf dunia, kami yakin dapat memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung di Kota Kinabalu,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video