Skip to main content

Malaysia

5 tan barangan jemaah dihantar setiap hari, permintaan meningkat menjelang wukuf

[TB]_jemaah haji hantar barang_ASTRO AWANI
Jemaah mula menguruskan barangan lebih awal bagi mengurangkan beban dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah di Arafah dan Mina. - Astro AWANI

MEKAH: Kira-kira lima tan barangan milik jemaah haji Malaysia dihantar pulang ke tanah air setiap hari, dengan jumlah keseluruhan kini mencecah sekitar 133 tan dalam tempoh kira-kira tiga minggu operasi di Tanah Suci.

Perkhidmatan penghantaran barangan ini dilihat semakin penting terutama menjelang kemuncak ibadah haji, apabila jemaah mula menguruskan barangan lebih awal bagi mengurangkan beban dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah di Arafah dan Mina.

Penolong Pengurus Operasi Masyair Perkhidmatan Luar Haji, Mohd Roshidi Loman berkata, perkhidmatan itu mula beroperasi sejak 18 April lalu dan menunjukkan peningkatan konsisten, khususnya dalam tempoh menghampiri fasa wukuf.

“Secara purata, sekitar lima tan dihantar sehari dan dalam tempoh 22 hari operasi, jumlahnya telah mencecah 133 tan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut beliau, penghantaran barangan dikendalikan oleh lima syarikat logistik yang dilantik iaitu MASkargo Logistics Sdn Bhd, FGV Transport Services Sdn Bhd, TH Travel & Services Sdn Bhd, KTH Logistics Sdn Bhd dan Pos Malaysia.

"Pelantikan syarikat-syarikat berkenaan dibuat melalui proses penilaian menyeluruh termasuk aspek kewangan, keupayaan operasi di Tanah Suci dan Malaysia serta sistem penjejakan bagi memastikan keselamatan barangan Jemaah", katanya.

Kebanyakan barangan yang dihantar terdiri daripada makanan seperti kurma dan kekacang, selain pelbagai barangan cenderahati termasuk jubah dan keperluan lain yang dibeli sepanjang berada di Tanah Suci.

Beliau turut memaklumkan bahawa negeri Selangor mencatatkan jumlah penghantaran tertinggi setakat ini dan dalam memastikan kos kekal berpatutan, kadar penghantaran telah diselaraskan, iaitu RM18 sekilogram bagi penghantaran ke Semenanjung Malaysia dan RM23 sekilogram ke Sabah serta Sarawak.

Mengulas trend semasa, Roshidi berkata peningkatan penghantaran lazimnya berlaku sebelum wukuf, apabila jemaah mula menghantar barangan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan ketika pergerakan ke Masyair.

Beliau menjangkakan jumlah keseluruhan penghantaran tahun ini berpotensi meningkat kepada sekitar 400 tan berbanding lebih 300 tan pada musim haji lalu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan jemaah supaya menggunakan perkhidmatan penghantaran yang disediakan oleh Tabung Haji bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan kehilangan atau kerosakan barangan.

“Jika menggunakan syarikat yang tidak dilantik, Tabung Haji tidak dapat membantu sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya.

Tambah beliau, jemaah boleh membuat aduan kepada pihak Tabung Haji sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan untuk tindakan lanjut.

Tempoh penghantaran ke Malaysia dianggarkan antara tujuh hingga 21 hari bergantung kepada destinasi dan proses logistik.

Bagaimanapun, air zamzam tidak dibenarkan dihantar melalui perkhidmatan tersebut kecuali mengikut ketetapan khusus.

Roshidi berkata, secara keseluruhan perkhidmatan ini bukan sahaja memudahkan jemaah, malah membantu mereka mengurangkan beban fizikal dan memberi ruang untuk fokus kepada ibadah.

“Tujuan utama adalah supaya jemaah dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah tanpa perlu memikirkan urusan barangan,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement