Peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili bekas Presiden 1Malaysia Development Berhad, Arul Kanda berkata bahawa anak guamannya telah "direkrut secara khusus" untuk mencari penyelesaian kepada masalah hutang syarikat kewangan strategik negara itu.

Ini berikutan terdapat beberapa laporan media yang mempersoalkan isu gaji Arul sewaktu dan selepas beliau berkhidmat bersama 1MDB sebelum ini.

"Arul dilantik dengan kontrak 36 bulan dari Januari 2015 hingga 31 Disember, 2017," menurut Sivananthan.

"Arul juga dijanjikan bonus selepas dia bersetuju untuk menandatangani pelanjutan enam bulan pada akhir tempoh tiga tahunnya pada Disember," tambahnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terus mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tentang isu RM5 juta pembayaran yang dibuat kepada bekas ketua 1MDB itu.

Namun demikian, peguam Arul Kanda menjelaskan bahawa apa bentuk bayaran yang dibuat kepada Arul Kanda tertakluk kepada janjian bersama antara anak guamannya dengan pihak 1MDB sebelum ini.

Sivananthan berkata apabila pelan rasionalisasi 1MDB telah "dilaksanakan dengan ketara" pada bulan Mac 2016, Arul telah menawarkan diri untuk meletak jawatan tetapi diberitahu untuk kekal di jawatan yang disandang beliau bagi 'menguruskan pertikaian undang-undang yang melibatkan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dengan 1MDB'.

Katanya lagi, ketika kontrak Arul berakhir pada Disember tahun lalu, beliau diminta untuk mempertimbangkan keputusan beliau untuk melanjutkan lagi perkhidmatan beliau bersama 1MDB.

Kenyataan peguam Arul Kanda tidak pula menjelaskan siapa yang meminta Arul untuk pertimbangkan keputusan untuk melanjutkan perkhidmatannya.

Peguam Sivananthan menjelaskan lagi kedudukan Arul Kanda di dalam 1MDB, dimana selepas beberapa rundingan, anak guamannya telah pun bersetuju untuk melanjutkan perkhidmatannya selama hanya enam bulan dari tempoh Disember 2017.

"Antara perkara yang dipersetujui termasuk pembayaran ex-gratia di atas budi bicara kesemua pihak yang diluluskan oleh lembaga dan pemegang saham syarikat 1MDB itu" kata Sivananthan lagi.

Beliau menambah bahawa Arul secara sah terikat untuk melaksanakan keputusan lembaga dalam menangani hutang 1MDB.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan jumlah yang besar dibayar kepada Arul Kanda, baru-baru ini.

Datuk Seri Najib mempertahankan isu ini dengan mengatakan ia adalah bayaran ex-gratia untuk Arul, yang dikatakan adalah gaji yang lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji yang beliau perolehi jika beliau terus bekerja di Abu Dhabi telah memperoleh lebih banyak sebagai ketua pelaburan di Abu Dhabi Commercial Bank.

Walaubagaimanapun, peguam Arul tidak mendedahkan gaji anak guamannya sewaktu beliau berkhidmat di Abu Dhabi.