BUSINESS
Asas ekonomi Malaysia kukuh, KDNK suku pertama capai 4.4 peratus - Amir Hamzah

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaburan turut menunjukkan prestasi kukuh dengan pertumbuhan sebanyak 9.7 peratus. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025 (S1 2025), selari dengan anggaran awal dan mengatasi pertumbuhan 4.2 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Ringkasan AI
- Pertumbuhan Ekonomi Malaysia: KDNK Malaysia berkembang 4.4% pada suku pertama 2025, mengatasi pertumbuhan 4.2% tahun sebelumnya. Sektor Perkhidmatan, Pembuatan, dan Pembinaan menjadi pemacu utama, disokong oleh perbelanjaan pengguna serta kenaikan gaji penjawat awam.
- Pelaburan & Risiko Global: Pelaburan meningkat 9.7%, mencerminkan keyakinan terhadap dasar pro-pembangunan negara seperti NETR, NIMP 2030, dan NSS. Namun, kerajaan turut mengambil kira kelembapan permintaan global, ketegangan geopolitik, dan tarif balas Amerika Syarikat.
- Strategi & Reformasi Ekonomi: Malaysia merancakkan pelaburan domestik dengan komitmen RM25 bilion oleh GLIC dan memperkukuh hubungan perdagangan melalui ASEAN dan RCEP. Kerajaan Madani mempercepat reformasi ekonomi untuk memastikan pertumbuhan inklusif dan mampan.
“Penggunaan swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, mencatat peningkatan 5 peratus. Ini disokong pasaran buruh yang kukuh dengan kadar pengangguran menurun ke paras 3.1 peratus dan inflasi kekal rendah pada 1.5 peratus dimana ia merupakan antara yang terendah dalam sejarah kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Namun begitu, kerajaan turut mengambil kira risiko luaran termasuk kelembapan permintaan global, ketegangan geopolitik, dan amalan perlindungan perdagangan terutamanya tarif balas yang diumumkan oleh Amerika Syarikat.
Menurut Hamzah, Kerajaan Madani menyatakan bahawa unjuran pertumbuhan rasmi tahun 2025, iaitu antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus mungkin disemak semula bergantung kepada kestabilan isu tarif global.
Sebagai langkah memperkukuh asas dalaman, kerajaan merancakkan pelaburan langsung domestik (DDI), termasuk komitmen sebanyak RM25 bilion oleh GLIC melalui program GEAR-UP.
Di samping itu, rundingan dua hala dengan Amerika Syarikat serta kerjasama pelbagai hala melalui ASEAN dan RCEP akan terus digiatkan untuk memastikan persekitaran perdagangan yang adil dan mampan.
“Malaysia telah mula menuai hasil awal strategi kepelbagaian pasaran dengan peningkatan eksport dan pelaburan ke pasaran bukan tradisional seperti Mesir, Pakistan, dan Kemboja.
"Kerajaan Madani juga akan mempercepat pelaksanaan agenda reformasi ekonomi, termasuk kelestarian fiskal, pembangunan modal insan dan jaringan keselamatan sosial bagi memastikan pertumbuhan negara kekal inklusif, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar," ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami