Skip to main content

Bisnes

Aset rizab rasmi Malaysia kekal pada US$129.73 bilion sehingga akhir April 2026

Sumber: BERNAMA
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) aset mata wang asing lain berjumlah US$66.6 juta.

KUALA LUMPUR: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$129.73 bilion pada akhir Mac 2026, berbanding US$126.61 bilion pada akhir Mac 2026.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) aset mata wang asing lain berjumlah US$66.6 juta.

Bank pusat itu berkata aliran keluar jangka pendek mata wang asing yang telah ditetapkan bagi tempoh 12 bulan akan datang merangkumi pinjaman, sekuriti dan deposit dalam mata wang asing berjumlah US$8.22 bilion.

Ini termasuk, antara lain, pembayaran balik terancang pinjaman luar kerajaan serta kematangan Bil Antara Bank Bank Negara dalam mata wang asing.

“Kedudukan jualan hadapan bersih jangka pendek berjumlah US$24.45 bilion setakat akhir April 2026, mencerminkan pengurusan kecairan ringgit dalam pasaran wang,” menurut BNM dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata selaras dengan amalan yang diguna pakai sejak April 2006, data tersebut tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah serta pengeluaran pinjaman projek.

Unjuran aliran masuk mata wang asing ini berjumlah USD2.98 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 Sementara itu, satu-satunya aliran keluar bersih luar jangka jangka pendek kontigensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan ke atas hutang mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun, iaitu berjumlah US$846.4 juta.

“Tiada pinjaman mata wang asing yang terkandung dalam opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam opsyen mata wang asing berbanding ringgit,” menurut bank pusat itu.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan April 2026 tetap boleh guna.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement