KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) diiktiraf sebagai antara insitiusi paling cermat dan berpandangan jauh.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan pengurus pelaburan Ashmore Group, ia menyatakan bahawa BNM mempunyai pencapaian yang lebih baik dalam pengurusan kestabilan makro berbanding bank-bank pusat yang lain, termasuk Bank Pusat Amerika Syarikat dan Bank Pusat Eropah.

Ketua Penyelidik Ashmore Gustavo Medeiros berkata, tidak seperti bank pusat yang lain, BNM lebih mengutamakan kestabilan kewangan berbanding sasaran yang tidak signifikan.

"Bank Negara adalah salah satu institusi yang paling cermat di dunia dan mempunyai sasaran jangka panjang. Ia berjaya mewujudkan kestabilan harga sambil mengekalkan julat dasar yang ketat antara 1.75 peratus hingga 3.5 peratus sejak dua dekad lalu.

"Bank pusat ini (BNM) tidak mempunyai rejim sasaran khusus tetapi ia capai kestabilan dalam  'julat yang selesa antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus. Kami berharap semua bank pusat stabil seperti Bank Negara," katanya dalam laporan itu.

Pada awal bulan ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus, kenaikan pertama sejak November 2022.

Bank pusat itu berkata, kadar siling dan tingkat lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.