KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 4.50 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023.

Pengagihan pendapatan sebanyak 4.50 sen seunit mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada paras 2.86 peratus sebanyak 164 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 27 September 2023.

Menerusi satu kenyataan, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata, ASM 3 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM681.96 juta.

Pengagihan itu akan memanfaatkan 563,460 pemegang unit yang kini memiliki 15.2 bilion unit.

“Dana tersebut juga meneruskan strategi kepelbagaiannya sementara pasaran ekuiti tempatan mendapat manfaat daripada lonjakan keyakinan oleh pelabur asing dan pasaran global mengalami pulangan positif daripada revolusi AI generatif,” menurut kenyataan itu.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2023.

Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27 hingga 30 September 2023.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Oktober 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Oktober 2023.