Google, Apple nasihat pekerja dengan visa tidak tinggalkan AS - Laporan

Menurut laporan itu, Google dan Apple menasihatkan sebahagian pekerja berkenaan agar tidak meninggalkan AS berikutan kelewatan urusan di kedutaan. - Gambar fail
MOSCOW: Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Google dan Apple, dilaporkan menasihatkan sebahagian pekerja mereka yang memegang visa kerja supaya tidak melakukan perjalanan ke luar Amerika Syarikat (AS), lapor Sputnik/RIA Novosti memetik laporan portal berita Business Insider berdasarkan e-mel dalaman syarikat.
Menurut laporan itu, Google dan Apple menasihatkan sebahagian pekerja berkenaan agar tidak meninggalkan AS berikutan kelewatan urusan di kedutaan.
Penasihat undang-undang luar bagi kedua-dua syarikat turut menghantar e-mel kepada pekerja yang memerlukan cop visa untuk masuk semula ke AS supaya tidak keluar dari negara itu, memandangkan proses pengeluaran visa kini mengambil masa lebih lama daripada biasa.
Kelewatan itu dikaitkan dengan pengenalan keperluan pengesahan media sosial untuk kategori pelancong tertentu yang memasuki AS.
Minggu lalu, NBC melaporkan, memetik satu dokumen US Customs and Border Protection (CBP), bahawa pihak berkuasa AS merancang untuk meminta data media sosial bagi tempoh lima tahun terdahulu daripada pelancong asing yang memohon masuk ke negara itu.
Laporan itu turut menyatakan bahawa CBP akan mengumpul nombor telefon dan alamat e-mel yang digunakan pemohon sepanjang tempoh lima tahun lalu, selain maklumat terperinci mengenai ahli keluarga terdekat, termasuk nama, tarikh lahir dan tempat tinggal.
Pada November, pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengarahkan pegawai visa supaya mengambil kira diabetes dan penyakit kronik lain seperti penyakit jantung, kanser dan obesiti sebagai alasan untuk menolak permohonan visa ke AS.
Menurut laporan Washington Post, garis panduan Jabatan Negara AS itu turut mengarahkan pegawai visa menolak kemasukan pemohon atas beberapa alasan baharu, termasuk mencapai usia persaraan, mempunyai ibu bapa lanjut usia, serta mempunyai tanggungan dengan "keperluan khas" atau ketidakupayaan.
Sebelum ini, CBP mengeluarkan data yang menunjukkan AS telah menjalankan pemeriksaan tertinggi pernah direkodkan terhadap telefon dan peranti elektronik warga asing yang memasuki negara itu sepanjang setahun lalu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


