Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit bagi skim Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2016.

Agihan mencatat penurunan 4.5 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 6.60 sen seunit.

Pengagihan melibatkan pembayaran RM1.026 bilion oleh ASNB meningkat berbanding RM1.01 bilion yang dibayar pada 2015.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pembayaran akan memanfaatkan 536,862 pemegang unit yang melanggan 16.298 bilion unit ASM.

"Kami boleh bayar 8.8 sen, tetapi kami mengambil pendekatan berhemah, 6.30 sen untuk kami bawa ke depan yang selebihnya akan ditentukan bagi perancangan seterusnya untuk memantapkan portfolio jangka panjang bagi pulangan yangkompetitif," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri
Hamad Kama Piah Che Othman pada pengumuman agihan pendapatan ASM di ibu negara pada Selasa.

Pendapatan kasar penuh ASM sehingga 11 Mac 2016 berada pada RM1.26 bilion.

Dividen yang diterima daripada syarikat pelaburan menyumbang RM423.66 juta atau 33.53 peratus dan selebihnya daripada instrumen pelaburan jangka pendek.

Pengagihan keuntungan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang secara automatik dan pemegang unit boleh mengemaskini akaun masing-masing di cawangan berdekatan bermula 1 April 2016.

Kesemua transaksi bagi ASM di ibu pejabat ASNB atau cawangan digantung bermula 23 Mac 2016 hingga 31 Mac 2016 bagi membolehkan pengiraan pengagihan keuntungan dan bonus dilakukan.

Sementara itu Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman turut mengumumkan bahawa ASNB sedang menawarkan promosi hibah amanah atau pengisytiharan amanah bagi pelaburnya dengan kadar minima RM100 termasuk GST berbanding RM180.

Ketika ini jumlah pelabur yang telah membuat pengisytiharan amanah adalah lebih 20, 000 orang.

Manakala 28, 000 pemegang telah pun mendaftar yang melibatkan 7.6 bilion unit pelaburan.

Mengulas mengenai dana Valuecap Sdn Bhd, Hamad Kama Piah berkata PNB akan mengumumkan sumbangannya dalam tempoh terdekat sejurus beberapa isu diselesaikan institusi pelaburan berkenaan.