Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit serta bonus 0.50 sen seunit bagi skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Pengagihan itu melibatkan pembayaran RM10.41 bilion oleh ASNB, peningkatan 4.3 peratus berbanding RM9.98 bilion yang dibayar pada 2014.

Bonus pula melibatkan peruntukan RM451.73 juta oleh PNB, berbanding RM804.43 juta yang dibayar tahun lepas.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pembayaran akan memanfaatkan 8.87 juta pemegang unit yang melanggan 142.54 bilion unit ASB.

“Risiko pelaburan ASB rendah jadi tidak timbul kenapa turun banyak tapi agihan yang ini cukup tinggi dan agihan ini berpatutan. Kita sentiasa berhati-hati dan cuba untuk kekal mapan."

"Kami boleh bayar lebih 9 sen, tetapi kami mengambil pendekatan berhemah, 7.25 sen jadi kami bawa ke depan yang selebihnya untuk tentukan perancangan seterusnya untuk mantapkan portfolio kita jangka panjang bagi pulangan kompetitif," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pendapatan kasar penuh ASB sehingga 23 Disember 2015 dianggar berada pada RM10.06 bilion.

Dividen yang diterima daripada syarikat pelaburan menyumbang RM4.51 bilion atau 44.8 peratus daripada pendapatan kasar.

INFOGRAFIK: Dividen dan bonus ASB dari tahun 1990 - 2015

Sementara itu, keuntungan daripada penjualan saham menyumbang RM3.60 bilion atau 35.8 peratus daripada pendapatan kasar dan baki RM1.95 bilion disumbang pendapatan lain.

Pengagihan keuntungan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang secara automatik dan pemegang unit boleh mengemaskini akaun masing-masing di cawangan berdekatan bermula 4 Januari 2015.

Kesemua transaksi bagi ASB di ibu pejabat ASNB atau cawangan digantung bermula 24 Disember 2015 hingga 3 Januari 2016 bagi membolehkan pengiraan pengagihan keuntungan dan bonus dilakukan.