KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd dalam proses untuk menyerahkan pekeliling penggabungan Celcom Axiata Bhd-Digi.com Bhd kepada Bursa Malaysia untuk memberi laluan kepada mesyuarat agung luar biasa pada November.

Pemangku Bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Vivek Sood berkata, urus niaga itu dijangka selesai sebelum akhir tahun.

Vivek berkata, Digi telah menyerahkan pekeliling itu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan sedang menunggu kelulusan.

"Saya boleh menyatakan bahawa perbincangan yang sedang dijalankan dengan SC adalah positif," katanya dalam taklimat media mengenai keputusan kewangan Axiata bagi suku kedua hari ini.

Axiata mencatatkan kerugian bersih RM106.38 juta pada suku tersebut berbanding keuntungan bersih RM277.75 juta pada suku yang sama tahun lepas, berikutan kerugian pertukaran mata wang asing berjumlah RM475.7 juta terutama daripada operasi mudah alih di Sri Lanka.

Bagaimanapun, Vivek berkata, kumpulan itu tidak berhasrat menamatkan perniagaan di negara itu di sebalik krisis hutang dan kejatuhan rupi Sri Lanka.

"Dialog Axiata PLC kekal sebagai jenama kukuh di negara ini. Saya berpendapat, kami yakin akan keluar daripada krisis ini. Saya berpandangan, kami juga melihat keadaan ini sebagai satu peluang.

"Sebagai contoh, Dialog sedang berusaha menggabungkan pusat datanya, daripada tujuh kepada tiga. Mungkin, mereka telah melaksanakannya ketika perniagaan berlangsung seperti biasa, namun, krisis ini telah memaksa mereka untuk berbuat demikian. Justeru, sekiranya kita telah berjaya mengharungi krisis ini, syarikat akan lebih berdaya tahan serta lebih bersedia untuk menikmati hasil yang lebih baik," katanya.

Pemangku Bersama CEO, Hans Wijayasuriya berkata, mata wang diramal akan stabil, sekurang-kurangnya dalam tempoh jangka pendek berikutan perbincangan yang memberangsangkan mengenai aturan kemudahan dana lanjutan (EFF) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Difahamkan, misi IMF yang sedang melawat Sri Lanka bermula 24 hingga 31 Ogos ini adalah bagi perbincangan mengenai dasar dan pembaharuan kewangan.

Sementara itu, Axiata berkata, ia dijangka melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) keseluruhan pada 2022 yang sebelum ini ditetapkan pertumbuhan perolehan satu digit pertengahan dan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) satu digit yang tinggi walaupun berdepan cabaran semasa.

Axiata telah membelanjakan kira-kira RM2.7 bilion daripada perbelanjaan modal sebanyak RM7.1 bilion yang diperuntukkan untuk tahun ini.

Vivek berkata, kumpulan masih mempunyai beberapa projek yang belum ditauliahkan dan dijangka membelanjakan capex hampir RM7 bilion pada tahun ini. - BERNAMA