KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) hari ini mengumumkan bahawa Tan Sri Azman Hashim akan bersara sebagai Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa 31 Mac, 2022, selepas berakhir tahun kewangannya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, menurut bank itu, Azman akan meneruskan sumbangan idea dan pandangannya kepada kumpulan tersebut sebagai Pengerusi Emeritus/Penasihat Kehormat selepas bersara dan kekal sebagai pemegang saham utama kumpulan itu.

"Tan Sri Azman merupakan antara tokoh dalam kumpulan perbankan Malaysia, mula terlibat dalam sektor itu pada 1960-an.

"Dengan semangat keusahawanan yang tinggi, beliau telah menjadi pemacu utama pertumbuhan Ambank Group sejak 1982, daripada asalnya sebagai Bank Pembangunan Arab-Malaysia dengan kakitangan awal seramai 200 orang dan membinanya sehingga kini sebuah konglomerat kewangan - AmBank Group -- dengan lebih 9,000 kakitangan," katanya.

Kumpulan itu berkata pandangan jauh Azman dalam merangka pelan penggantian kumpulan sejak 2017 telah membolehkan pasukan yang baik diwujudkan, memastikan pertumbuhan kumpulan yang berterusan.

"AmBank Group menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Azman Hashim, atas visinya yang cemerlang, kepimpinannya yang teguh dan dedikasinya yang tidak berbelah bahagi," katanya.

-- BERNAMA