Kerajaan perlu memberi penumpuan khusus kepada isu kos sara hidup rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Oktober depan.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia cabaran besar kepada Kerajaan namun pertimbangan paling penting demi memastikan pembelaan dan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

"Kita sentiasa menumpukan isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat. Semua pandangan diambil daripada akar umbi. Ini bermakna Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) menyuarakan pandangan akar umbi dan dibawa ke pengetahuan pimpinan negara untuk diberikan pertimbangan.

"Kita faham dalam keadaan ekonomi yang mencabar pasti tidak mudah untuk Kerajaan merangka Baget 2017 namun kita percaya Kerajaan akan tetap menjaga kepentingan serta kebajikan rakyat terutama mereka yang miskin serta kurang berkemampuan dan semua pihak yang lain.

"Justeru itu, sebagai biro yang sentiasa membela isu dan kepentingan rakyat kita harap serta percaya kerajaan akan memberikan pertimbangan sewajarnya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Shamsul berkata demikian selepas BKUM mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani semasa Dialog Bajet 2017 serta menerima memorandum berkaitan cadangan untuk pertimbangan Kerajaan di Kementerian Kewangan pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, Bajet 2017 akan mengutamakan agenda dalam membantu menambah pendapatan kumpulan B40 yang terdiri dari kalangan 40 peratus pendapatan isi rumah terendah. Jelasnya, hasrat itu bukan sekadar gimik tetapi agenda berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu kata Shamsul, langkah diambil BKUM membuktikan mereka tidak terhad hanya membantu ketika bencana tetapi lebih jauh daripada itu.

"BKUM mesti membela dan berjuang soal kebajikan rakyat keseluruhannya termasuk pembelaan kepada pelbagai kumpulan rakyat dalam negara ini.

"Dalam dialog itu, BKUM diwakili pelbagai peringkat kepimpinan parti di pusat, negeri dan juga bahagian bahagian. Ini untuk memastikan suara pelbagai peringkat dapat dibawa dalam dialog berkenaan," jelasnya.

Sebelum ini juga, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua kementerian dan agensi-agensi di bawahnya meneliti cadangan yang diutarakan rakyat dalam laman #Bajet2017. Perdana Menteri berkata, tindakan itu perlu kerana banyak cadangan yang diberikan rakyat dalam laman khas itu berkait dengan urusan kementerian.