Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini dijangka memberikan komitmen terhadap penggalakan penggunaan kenderaan elektrik, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata kementeriannya sedang memperhalusi lagi dasar berhubung pewujudan lebih banyak lagi stesen pengecaj sebagai kaedah untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di negara ini.

"(Penggunaan kenderaan elektrik) belum dapat diperluaskan lagi kerana sebahagian daripada infrastruktur seperti 'charging station' (stesen pengecaj), kita kena promosikan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Yahijau Langkawi 2016, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, dasar penggalakan penggunaan kenderaan elektrik ini turut melibatkan beberapa kementerian seperti kewangan, pengangkutan serta perdagangan antarabangsa dan industri.

"Penglibatan KeTTHA (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dalam penggalakan ini turut bermatlamat untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kedah menjadi negeri kedua untuk mengisytiharkan agenda hijau selepas Melaka.

"Negeri-negeri lain sudah menunjukkan komitmen mereka tetapi sedang merangka strategi-strategi untuk melaksanakan agenda hijau di negeri masing-masing," katanya.

Ongkili berkata penganjuran karnival itu oleh KeTTHA dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah merupakan lanjutan kepada usaha untuk meningkatkan lagi tahap pemahaman dan amalan hijau dalam kalangan rakyat.

Exco Negeri Kedah Datuk Norsbarina Mohd Noor berkata sebanyak 14 perkara berkaitan amalan hijau ditetapkan di bawah Agenda Hijau Kedah yang dirangka sejak tahun lepas sebelum dilancarkan hari ini.

"Kita akan menambah lagi agenda-agenda ini dari semasa ke semasa sebagai cara untuk meningkatkan lagi amalan ini di Kedah," katanya. -- BERNAMA